Menghitung masa depan Petronas

Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM55.1 bilion, susut 32 peratus berbanding RM80.7 bilion pada tahun sebelumnya. Foto hiasan
Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM55.1 bilion, susut 32 peratus berbanding RM80.7 bilion pada tahun sebelumnya. Foto hiasan
A
A
A

SYARIKAT minyak nasional negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kembali menjadi sorotan rakyat apabila beberapa isu sejak kebelakangan ini menimbulkan persoalan tentang masa depannya.

Keuntungan merosot, isu berkait Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan pemberhentian 5,000 pekerja menarik perhatian rakyat.

Keputusan kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 menunjukkan syarikat gergasi negara itu sedang berdepan cabaran besar.

Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM55.1 bilion, susut 32 peratus berbanding RM80.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Turut menyusut ialah pendapatan keseluruhan sebanyak RM320 bilion iaitu tujuh peratus lebih rendah berbanding 2023. Laporan menyatakan bahawa tekanan harga minyak global yang lemah menjadi faktor utama kemerosotan tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, bagaimanapun menjelaskan prestasi Petronas masih berada dalam landasan mampan, disokong oleh strategi transformasi korporat yang menekankan disiplin perbelanjaan, kepelbagaian portfolio dan kolaborasi strategik.

Pada masa sama, Petronas mengumumkan langkah drastik untuk mengurangkan 10 peratus tenaga kerja melibatkan sekitar 5,000 orang sebagai sebahagian pelan penstrukturan semula korporat 'Petronas 2.0'.

Tengku Muhammad Taufik menyatakan transformasi itu penting bagi menjadikan organisasi lebih kecil, tangkas dan berdaya saing dalam suasana margin yang semakin sempit.

Artikel Berkaitan:

Langkah Petronas itu bagaimanapun mencetuskan reaksi segera daripada beberapa pemimpin politik yang mempersoalkan rasional kerajaan terus menuntut dividen tinggi iaitu RM32 bilion setahun untuk 2024 dan 2025 meskipun keuntungan merosot dua tahun berturut-turut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil terhadap syarikat dan kakitangannya.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan langkah pengurangan tenaga kerja adalah kerana cabaran global dan tidak berkaitan dengan hubungan antara Petronas serta Petros.

Petronas baru sahaja menyelesaikan polemik jangka panjang dengan Petros apabila satu Deklarasi Bersama dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak pada 21 Mei lalu.

Ia mengiktiraf kedudukan undang-undang kedua-dua entiti dan membuka jalan kepada kerjasama antara Petronas serta Petros.

Menurut deklarasi itu, Petros dilantik sebagai agregator gas Sarawak bermula 1 Mac 2025 dan perbincangan lanjut akan dijalankan untuk peluasan kerjasama dalam sektor tenaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Petronas akan terus berfungsi seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), sementara Petros pula diiktiraf sebagai entiti negeri yang matang dan berpotensi besar.

Dengan kombinasi faktor seperti keuntungan merosot, pemotongan tenaga kerja, beban fiskal tetap dan kerjasama baharu dengan Sarawak, menambah beban Petronas.

Gesaan supaya audit menyeluruh dilakukan terhadap Petronas mula kedengaran termasuk daripada Pemuda UMNO yang mahu kerajaan memastikan ketelusan dalam pengurusan syarikat itu terutama ketika tenaga kerja dikorbankan.

Persoalannya, sejauh mana struktur fiskal negara bergantung kepada dividen Petronas dan adakah model semasa mampu dikekalkan dalam tempoh jangka sederhana?

Bagi sesetengah penganalisis, dilema itu hanya akan selesai apabila kerajaan mula membina sistem hasil negara lebih pelbagai, tidak hanya bergantung kepada satu sumber, apatah lagi dalam era pasaran tenaga yang sangat tidak menentu.

Dalam tempoh jangka panjang, reformasi diperlukan bukan sahaja dari segi struktur organisasi, malah daya saing dalam tenaga lestari.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!