Cadangan Petronas diaudit cetus pelbagai reaksi pemimpin politik

Cadangan audit menyeluruh terhadap Petronas susulan penstrukturan semula 5,000 pekerja kontrak mendapat pelbagai reaksi dari ahli politik. Gambar kecil: Azli, Zaid dan Abdullah Sani
Cadangan audit menyeluruh terhadap Petronas susulan penstrukturan semula 5,000 pekerja kontrak mendapat pelbagai reaksi dari ahli politik. Gambar kecil: Azli, Zaid dan Abdullah Sani
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan agar kerajaan melaksanakan audit menyeluruh terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) susulan penstrukturan semula melibatkan 5,000 pekerja kontrak menerima pelbagai reaksi daripada pemimpin politik tanah air.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berpandangan, syor tersebut wajar dipertimbangkan asalkan ia dilaksanakan secara telus dan profesional tanpa menjejaskan reputasi serta keyakinan pelabur terhadap syarikat minyak dan gas negara itu.

“Petronas beroperasi di peringkat global dan tertakluk kepada audit dalaman serta audit tahunan. Kita tidak mahu audit pihak ketiga dipolitikkan hingga memberi kesan kepada pelabur dan rakan kongsi.

“Jika perlu, audit itu mestilah bebas dan sebarang penemuan penting boleh dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa audit menyeluruh terhadap Petronas bagi memastikan keputusan rightsizing itu dilakukan secara telus dan berasaskan keperluan sebenar.

Ia susulan keputusan syarikat itu menamatkan perkhidmatan kira-kira 10 peratus daripada 50,000 kakitangan dengan 5,000 pekerja kontrak dijangka antara kumpulan pertama terjejas.

Mengulas lanjut, Azli mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memantau tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas supaya setiap keputusan besar selari dengan kepentingan rakyat dan negara.

“Operasi syarikat tidak perlu diganggu, tetapi rakyat berhak tahu,” katanya.

Beliau turut menggesa Petronas tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung langkah pengurangan tenaga kerja bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti syarikat dan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyokong audit forensik terhadap Petronas dengan syarat ia berpaksikan undang-undang dan bukan tekanan politik.

“Kalau audit itu boleh beri kejelasan tanpa menjejaskan mana-mana pihak, ia boleh dijalankan. Tapi ia mesti berdasarkan undang-undang, bukan desakan politik semata-mata.

“Jika 5,000 pekerja itu rasa teraniaya atau diberhentikan secara tidak adil, mereka boleh mengemukakan tuntutan di Mahkamah Buruh,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim tampil lebih kritikal apabila menyifatkan kenyataan Dr Muhamad Akmal hanya melihat isu itu di permukaan.

“Tak perlu audit forensik jika tiada kebimbangan khusus. Persoalannya, adakah Pemuda UMNO faham kandungan perjanjian mengenai Petronas-Petros?” soal beliau.

Zaid turut mencadangkan dasar pendapatan alternatif dirangka bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap Petronas, selain mempersoalkan hala tuju kepimpinan syarikat tersebut.

“Dulu, Petronas dipimpin tokoh berwibawa seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

“Adakah hari ini kita masih ada tokoh setaraf ini untuk mengemudi syarikat menghadapi cabaran global?” soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!