Petronas sekali lagi jadi tumpuan

PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas), syarikat milik kerajaan yang menjadi tonggak utama industri minyak dan gas negara sekali lagi menjadi perhatian apabila mengumumkan langkah penstrukturan semula melibatkan lebih 5,000 pekerja kontrak.
Tindakan itu mengejutkan banyak pihak memandangkan jumlah yang terlibat bukan kecil, malah turut melibatkan masa depan ribuan isi rumah.
Penstrukturan semula berkenaan diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, sebagai langkah mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran global.
Namun, timbul persoalan sejauh mana langkah pengurangan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerja syarikat itu benar-benar perlu, dan sama ada masih ada ruang bagi pendekatan lain yang lebih lestari.
Dalam konteks ekonomi semasa, pekerja kontrak merupakan kumpulan paling terkesan dalam mana-mana proses rasionalisasi sumber manusia.
Keputusan ini sudah tentu memberi impak besar dari sudut emosi dan ekonomi kepada mereka yang terlibat, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Sebagai syarikat milik negara, Petronas memikul tanggungjawab sosial yang tinggi – bukan sahaja terhadap keuntungan syarikat, tetapi juga terhadap kebajikan rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian besar tenaga kerjanya.
Sebahagian pihak berpandangan bahawa Petronas masih mempunyai pilihan lain, seperti menyerap pekerja terkesan ke dalam anak syarikat, melaksanakan pemindahan dalaman atau menawarkan latihan semula bagi peranan baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Model penempatan semula ini telah berjaya dilaksanakan oleh beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain yang mengutamakan kelangsungan pekerjaan sambil menstruktur semula organisasi secara berperingkat dan berperikemanusiaan.
Tambahan pula, dengan kerajaan kini giat mempromosikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Petronas – sebagai peneraju industri – berpotensi memanfaatkan dasar tersebut untuk membuka lebih banyak ruang pekerjaan baharu yang selari dengan hala tuju tenaga hijau.
Perlu diingat, pemberhentian pekerja secara besar-besaran dalam tempoh singkat boleh memberi kesan jangka panjang kepada reputasi syarikat serta kepercayaan awam, khususnya apabila ia membabitkan GLC yang dibiayai hasil negara.
Meskipun penstrukturan semula mungkin dilihat wajar dari sudut keberkesanan operasi, pendekatan yang lebih inklusif, berfasa dan berperikemanusiaan amat wajar dipertimbangkan bagi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

