Reban ayam terbiar dipulihkan, mula beroperasi tampung permintaan pasaran

Azman menunjukkan antara anak ayam yang diternak di Kompleks Reban Ayam Tertutup Baruh Masin di Hulu Besut, Besut. Foto: Facebook Azman Ibrahim.
Azman menunjukkan antara anak ayam yang diternak di Kompleks Reban Ayam Tertutup Baruh Masin di Hulu Besut, Besut. Foto: Facebook Azman Ibrahim.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kompleks Reban Ayam Tertutup Baruh Masin di Hulu Besut yang sebelum ini terbiar berjaya dibaik pulih dan dinaik taraf dengan kos melebihi RM700,000.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, reban milik kerajaan negeri yang dibina sebelum ini mengalami kerosakan dan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, usaha membaik pulih reban ayam tersebut dijalankan dengan peruntukan kewangan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)

"Kita ikhtiar dapatkan dana untuk baiki dan majukan kembali reban tersebut. Terima kasih kepada KPKM yang telah menyalurkan lebih RM700,000 untuk proses pembaikan dan naik taraf reban ayam ini," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Azman menunjukkan keadaan dalam kompleks ternakan ayam di Baruh Masin, Hulu Besut yang sebelum ini terbiar berjaya dibaik pulih dan dinaik taraf dengan kos melebihi RM700,000. - Foto: Facebook Dr Azman Ibrahin
Azman menunjukkan keadaan dalam kompleks ternakan ayam di Baruh Masin, Hulu Besut yang sebelum ini terbiar berjaya dibaik pulih dan dinaik taraf dengan kos melebihi RM700,000. - Foto: Facebook Dr Azman Ibrahin

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dan naik taraf reban ayam berkenaan telah siap sepenuhnya pada November tahun lalu dan proses pemilihan pengusaha kini sedang dilakukan bagi memastikan hanya yang benar-benar layak dan berkemampuan dipilih.

"Sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman telah diberikan peluang sebagai operator baharu dan akan mengoperasikan reban tertutup itu dalam masa terdekat.

"Kita tidak mahu sejarah kegagalan lalu berulang. Jadi, penilaian terhadap pengusaha dibuat secara teliti agar reban ini dapat beroperasi secara mampan dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri," ujarnya.

Jelas beliau, sistem reban tertutup dengan kapasiti 26,000 ekor ayam bagi setiap pusingan itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada pengeluaran sumber makanan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini usia penghuni pertama (ayam) sudah 15 hari. Lagi 20 hari akan naik lori (dipasarkan)," katanya.

Usaha membaik pulih kompleks reban ayam itu turut menarik perhatian Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mencemar duli meninjau projek berkenaan, baru-baru ini.

Ketika lawatan, baginda turut diberi taklimat ringkas berkenaan status dan perkembangan projek sebelum meluangkan masa meninjau sekitar kompleks tersebut.

Sebelum ini, reban tersebut diuruskan oleh tiga pengusaha berasingan iaitu TD Poultry, Syarikat Jahasrat Farming dan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC),

Namun, difahamkan, kerugian berpunca daripada masalah kecurian dan masalah kelengkapan dengan anggaran melebihi RM200,000 yang terpaksa ditampung oleh pengusaha terbabit menyebabkan mereka menarik diri daripada meneruskan projek tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!