Terminal bas Shahab Perdana dinaik taraf, bakal berwajah baharu menjelang April

Abdul Gafar (tiga dari kanan) meninjau fasa pertama projek menaik taraf Terminal Shahab Perdana di Alor Setar Sabtu.
Abdul Gafar (tiga dari kanan) meninjau fasa pertama projek menaik taraf Terminal Shahab Perdana di Alor Setar Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Terminal Bas Shahab Perdana di sini yang berusia 25 tahun bakal berwajah baharu apabila menawarkan pelbagai kemudahan mulai April depan.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, ini berikutan satu projek naik taraf terminal berkenaan yang telah berjalan sejak 15 Disember lalu.

Katanya, projek terbabit yang melibatkan dua fasa menelan belanja RM12 juta dengan penyediaan 16 platform bas pada fasa pertama.

“Sekarang ini fasa pertama sedang berjalan dengan lancar malah telah melebihi satu peratus daripada yang dijangkakan.

“Saya mewakili Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sangat berpuas hati dengan (cara kerja) syarikat Jasa Pedoman Sdn. Bhd. Saya percaya mereka akan fokus dan memenuhi perjanjian yang telah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Walkbout Datuk Bandar di Terminal Shahab Perdana pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah projek Jasa Pedoman Sdn.Bhd. Mejar (B) Ahmad Zaidi.

Menurutnya, bangunan terminal sedia ada tidak akan diruntuh sebaliknya dinaik taraf dengan lebih baik untuk memberi kemudahan sewajarnya.

“Tingkat atas terminal ini kita akan ubah suai untuk dijadikan hotel backpackers dan nanti ada juga ruang niaga, parkir, pandu lalu serta pengecas kenderaan elektrik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Gafar berkata, beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada peniaga-peniaga di terminal berkenaan yang memberikan kerjasama dengan baik.

“Saya beri jaminan untuk penempatan peniaga nanti, kita akan utamakan peniaga sedia ada termasuk peniaga medan selera yang berjumlah 20 orang.

“Cumanya mereka kena naik taraf perniagaan masing-masing mengikut konsep terkini dan moden supaya selaras dengan peredaran zaman,” katanya.

Jelas Abdul Gafar, selain itu pemandu teksi juga tidak akan dianaktirikan, malah mereka juga akan diberi tempat dalam terminal terbabit.

“Peniaga dan pemandu teksi adalah jantung hati MBAS. Mereka ini saya akan beri keutamaan di sini tapi saya pernah cakap dengan mereka kena ada satu perubahan yang dinamik supaya selaras dengan pembangunan sekarang ini,” ujarnya.

Justeru Abdul Gafar berharap dengan adanya projek berkenaan rungutan daripada pengunjung luar dan dalam Kedah selama ini akan berakhir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!