Penghuni PPR Kota Bharu tak bayar kos selenggara hampir RM700,000

TANAH MERAH - Penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) yang degil membayar kos penyelenggaraan menyukarkan kerajaan membaiki kerosakan atau selenggara segera rumah berkenaan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, yuran selenggara sebanyak RM12 perlu dibayar bersama jumlah sewa iaitu RM225 dan kos itu penting untuk pastikan rumah terjaga dalam jangka masa panjang.
"Saya dibawa ke PPR Kota Bharu dan difahamkan wang selenggara tidak dibayar hampir RM700,000.

"Apabila wang sejumlah itu tidak dibayar maka untuk pulih kerosakan itu sangat sukar. Wang sejumlah RM237 itu sebenarnya rendah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Gual Ipoh, Tanah Merah pada Isnin.
Beliau memberitahu, pembayaran wang penyelenggaraan itu juga dapat membantu lebih ramai rakyat berpeluang menduduki rumah PPR.
"Masyarakat mungkin berpendapat kalau tidak bayar pun tidak mengapa. Kerajaan akan membaikinya bagi mengelakkan menganiaya rakyat yang perlu rumah.
"Tolonglah... sebenarnya kita boleh menyediakan lebih banyak rumah untuk rakyat dan rumah yang ada sekarang dapat dijaga dengan sebaiknya... itulah pentingnya selenggara," katanya.
Jelas beliau, pelbagai alasan diberikan bagi mengelakkan mereka menunaikan tanggungjawab berkenaan namun penyewa sebenarnya perlu mengubah sikap itu supaya sama-sama memahami keperluan masing-masing.
"Semua orang boleh memberi alasan tetapi pada kita sewa dan yuran dikenakan sangat rendah bagi menyediakan keperluan dan kelengkapan lebih sempurna," katanya.
Sementara itu, seramai 104 penerima memperoleh surat tawaran penempatan bagi fasa pertama PPR Gual Ipoh manakala penyerahan surat tawaran bagi fasa seterusnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
PPR Gual Ipoh melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM80,994,080 diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan siap sepenuhnya pada 14 April 2021 di atas tanah berkeluasan 15.47 hektar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!