Guan Eng pertikai pemberian bonus enam bulan PDC

GEORGE TOWN – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan kewajaran bayaran bonus sehingga enam bulan gaji kepada kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang diumumkan pada Februari lalu.
Beliau berkata, bagaimana PDC boleh membayar bonus sebanyak itu sedangkan agensi tersebut sedang berdepan pelbagai kontroversi termasuk kelewatan projek dan keputusan penjualan tanah yang merugikan kerajaan negeri.
Menurut beliau, bayaran bonus itu adalah yang tertinggi dalam kalangan agensi kerajaan negeri, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan integriti pengurusan kewangan PDC ketika kerajaan negeri sendiri menghadapi kekangan kewangan yang serius.
“Siapa yang menerima bayaran bonus enam bulan ini?
"Adakah ini satu layanan yang adil kepada agensi yang terpalit dengan pelbagai isu kontroversi seperti kelewatan projek, rundingan terus jual beli tanah yang diragui dan hutang beratus juta ringgit?” katanya.
Guan Eng (DAP-Air Putih) berkata demikian pada sesi perbahasan ucapan perasmian Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Tambah Guan Eng, tindakan tersebut amat tidak wajar ketika Akaun Hasil Disatukan negeri telah merosot hampir RM1.1 bilion dalam tempoh lima tahun daripada RM1.15 bilion pada 2019 kepada hanya RM50 juta menjelang akhir 2024.
"Lebihan hasil negeri turut menunjukkan trend penurunan dengan baki hanya RM43 juta setakat 2 Mei lalu, berbanding RM65 juta pada 31 Mac 2025.
"Saya ingin tahu ke mana perginya RM1.1 bilion ini dibelanjakan dalam tempoh lima tahun. Angka-angka terperinci harus dikemukakan kerana ia melibatkan perbelanjaan hasil berturut-turut yang melebihi pendapatan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 396 kakitangan PDC akan menerima bonus minimum sebulan sehingga lima bulan gaji bagi tahun ini.
Pembayaran yang dibuat pada Februari itu adalah yang tertinggi dalam sejarah sejak PDC ditubuhkan pada 1972.
Ia adalah berdasarkan prestasi pekerja, di mana hanya 10 peratus daripada 396 kakitangan akan menerima bonus maksimum iaitu lima hingga enam bulan gaji.
Pemberian tertinggi bonus itu adalah berdasarkan keuntungan yang dicatatkan PDC pada tahun lalu iaitu RM500 juta.
Dalam pada itu, Guan Eng juga menyatakan keprihatinan terhadap kebergantungan kerajaan negeri kepada bantuan kerajaan Persekutuan, termasuk wang pendahuluan RM100 juta serta projek mega seperti Projek Aliran Transit Ringan (LRT), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Dua-Juru.
“Masalah kekangan kewangan ini turut memburukkan keadaan apabila kerajaan negeri kini dikatakan berhutang lebih RM300 juta kepada PDC walaupun pada 2023, Ketua Menteri menyatakan tiada hutang kepada PDC.
"Mengapa kenyataan berbeza ini berlaku?” ujarnya.
Guan Eng turut menempelak kegagalan PDC menyiapkan projek pelebaran Jalan Perusahaan ke Jalan Tok Kangar di Seberang Perai Tengah yang sepatutnya siap pada 2021 tetapi kini dijangka hanya siap pada akhir 2026, dengan kos projek RM21.6 juta.
“Adakah tindakan diambil ke atas kontraktor dan pegawai PDC yang bertanggungjawab?
"Apa jaminan projek ini tidak terus tertangguh dan membazirkan wang rakyat?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

