Iftar perlukan RM28,000 untuk pembedahan, kasut khas bantu pergerakan

Muhammad Iftar Syawal (tengah) bersama kedua ibu bapanya. Gambar kecil: Tapak kaki kiri Muhammad Iftar Syawal sering mengalami kematu dan berdarah.
Muhammad Iftar Syawal (tengah) bersama kedua ibu bapanya. Gambar kecil: Tapak kaki kiri Muhammad Iftar Syawal sering mengalami kematu dan berdarah.
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang remaja berusia 16 tahun dari Kampung Alor Teja di sini terpaksa menahan kesakitan setiap hari apabila masalah saraf dan tulang kaki kiri yang dialaminya sejak kecil semakin serius sekali gus menjejaskan pergerakan serta rutin persekolahannya.

Remaja tersebut, Muhammad Iftar Syawal Mohd Zafardi kini memerlukan pembedahan memasukkan besi sokongan pada tulang dengan anggaran kos kira-kira RM28,000 bagi membolehkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tajar ini bergerak dengan lebih baik.

Bapanya, Mohd Zafardi Abdun, 52, berkata, keadaan anak ketiganya daripada empat beradik itu semakin membimbangkan sejak tahun lalu apabila kerap mengadu sakit dan sukar berjalan jauh.

Menurutnya, tapak kaki kiri Muhammad Iftar Syawal sering mengalami kematu dan berdarah menyebabkan remaja itu terpaksa memakai stoking tebal setiap hari bagi mengurangkan geseran dan kesakitan.

“Di sekolah, dia tidak aktif seperti rakan lain. Kelasnya di tingkat tiga, jadi dia perlu naik tangga setiap hari.

"Kaki kiri tak boleh pakai kasut, hanya kaki kanan. Sebelum ini dia ada beritahu kakinya berdarah.

“Anak saya ini pendiam, tak banyak bercakap, sebab itu dia jarang mengadu kepada rakan atau guru tentang keadaan kakinya yang sakit,” katanya semasa dihubungi di sini.

Jelas Mohd Zafardi, temu janji dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Bahiyah dijadualkan pada Mac ini dan sekiranya keadaan bertambah teruk, pembedahan perlu dilakukan segera

Menurutnya, selain pembedahan, doktor juga mencadangkan kasut khas untuk membantu pergerakan Muhammad Iftar Syawal.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Iftar Syawal Mohd Zafardi memerlukan pembedahan memasukkan besi sokongan pada tulang dengan anggaran kos kira-kira RM28,000.
Muhammad Iftar Syawal Mohd Zafardi memerlukan pembedahan memasukkan besi sokongan pada tulang dengan anggaran kos kira-kira RM28,000.

Katanya lagi, walaupun berdepan kekangan fizikal dan menjadi mangsa ejekan segelintir rakan, anaknya itu tetap bersemangat ke sekolah dan gemar menunaikan solat berjemaah di masjid berhampiran.

“Pergerakan Muhammad Iftar yang tidak boleh bergerak lama menyebabkan dia hanya banyak duduk tapi kalau bab solat berjemaah, dia memang suka.

"Kalau nak hantar naik motosikal pun saya kena pastikan kakinya dijaga betul-betul,” ujarnya.

Mohd Zafardi yang bekerja mengambil upah di sawah dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan mengakui tidak mampu menyediakan wang bagi kos pembedahan tersebut.

Tambahnya, isterinya, Nor Sekilawati Ahmad, 46, hanya merupakan suri rumah sepenuh masa dan pendapatan sedia ada cukup menampung keperluan belanja dapur serta persekolahan tiga anaknya.

“Muhammad Iftar ada menerima bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, dapatlah tampung keperluannya.

“Duit yang ada cukup-cukup makan sahaja. Nak bawa anak ke hospital pun terpaksa harap jiran sebab kami tak ada kereta,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi kakak sulung Muhammad Iftar Syawal, Siti Fatin Salwa, 25, di talian 017-895 6341 atau menyalurkan sumbangan ke akaun BSN 0212229861526762 atas nama Mohd Zafardi Abdun.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!