Pulau Pinang pertimbang cadangan tukar terowong dasar laut kepada jambatan - Exco

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk menukar reka bentuk Laluan Ketiga Pulau Pinang (Penang Third Link) antara pulau dan tanah besar daripada terowong dasar laut kepada jambatan.

Perkara itu dimaklumkan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Zairil Khir Johari ketika menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Menurut Zairil, kajian kebolehlaksanaan bagi reka bentuk baharu itu telah siap pada tahun lalu dan merangkumi penilaian terhadap kesesuaian pembinaan jambatan serta reka bentuk alternatif lain.

“Kajian pelaksanaan bagi reka bentuk alternatif ini sedang dijalankan dan dijangka siap dalam masa terdekat. Reka bentuk akhir akan dimuktamadkan selepas kajian tersebut selesai.

“Penilaian Impak Trafik (TIA) serta semua penilaian berkaitan juga akan dilaksanakan selepas itu,” katanya.

Pada Februari lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa jajaran Laluan Ketiga Pulau Pinang akan berubah, namun tidak memperincikan sama ada ia akan dibina dalam bentuk jambatan atau terowong dasar laut.

Pada tahun 2021, kerajaan negeri pernah menyatakan bahawa pembinaan jambatan ketiga tidak diketepikan sebagai pilihan bagi menggantikan projek terowong dasar laut yang dirancang menghubungkan kawasan pulau dan Seberang Perai.

Untuk rekod, Pulau Pinang kini memiliki dua jambatan, namun Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang dilaporkan kurang digunakan.

Artikel Berkaitan:

Projek terowong dasar sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.

Terowong dasar laut itu adalah sebahagian daripada pakej projek bernilai RM6.3 bilion.

Ia dicadangkan sebagai penghubung ketiga antara pulau dan tanah besar untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!