Kereta rasmi dan bonus PDC: Muda persoal keutamaan perbelanjaan kerajaan Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang mengecam tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang didakwa membelanjakan sebanyak RM3.31 juta untuk pembelian 15 buah kereta rasmi Toyota Camry 2.5V (CBU) dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kewangan.
Pengerusinya, Andika Putra berkata, perbelanjaan sedemikian tidak wajar ketika ramai rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
"Muda Pulau Pinang kesal dengan tindakan tidak berhemah ini yang menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri tidak peka dengan penderitaan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Beliau turut mempersoalkan pembayaran bonus besar oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), iaitu agensi di bawah kerajaan negeri, yang dilaporkan berjumlah RM6.68 juta bagi tahun 2024.
Malah katanya, hanya 25 peratus daripada 350 orang kakitangan PDC menerima bonus sehingga enam bulan gaji.
"Persoalannya, berapa jumlah ‘dividen’ yang telah dikembalikan oleh PDC kepada kerajaan negeri hasil keuntungan besar ini?"
"Di manakah keutamaan dalam perbelanjaan ketika banyak program kebajikan seperti i-Sejahtera dikaji semula atas alasan kekangan kewangan?
"Tindakan ini tidak menunjukkan keseimbangan dalam pengurusan sumber negeri dan menimbulkan persoalan mengenai keprihatinan kerajaan negeri pada keperluan rakyat," katanya.
Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan negeri seharusnya ditumpukan kepada kebajikan rakyat dan memperkukuh sistem sokongan sosial.
Oleh itu, katanya, Muda Pulau Pinang menggesa supaya kerajaan negeri menilai semula keutamaan perbelanjaan agar ia benar-benar memanfaatkan rakyat, khususnya golongan rentan, di saat ekonomi masih belum pulih sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
