Pulau Pinang laksana semakan cukai selepas hampir 30 tahun tidak dikaji semula

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan pelaksanaan semakan kadar cukai tanah berkuat kuasa pada tahun 2026 serta pewartaan 25 bandar baharu dibuat atas keperluan undang-undang dan perkembangan semasa negeri itu selepas kali terakhir semakan dilakukan hampir 30 tahun lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semakan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan semakan setiap 10 tahun namun Pulau Pinang kali terakhir melaksanakannya pada 1994 dan dikuatkuasakan pada 1996.
Menurutnya, pewartaan 16 bandar sebelum ini pula dibuat pada 1966 meliputi sebahagian kawasan George Town, Jelutong, Ayer Itam, Gelugor, Bukit Bendera, Tanjong Bungah, Tanjong Tokong, Batu Feringgi, Balik Pulau, Bayan Lepas, Kepala Batas, Butterworth, Prai, Bukit Mertajam, Sungai Bakap dan Nibong Tebal.
“Akibat ketiadaan semakan cukai tanah dan pewartaan bandar baharu dalam tempoh yang panjang, jurang kadar cukai antara Tanah Desa dan Tanah Bandar menjadi semakin besar dan tidak saksama.
“Ketika ini, pembangunan pesat termasuk pembukaan pusat bandar dan kawasan perindustrian baharu menjadikan sebahagian besar kawasan di Pulau Pinang setara dari segi pembangunan ekonomi dan sosial dengan kawasan bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, semakan itu bertujuan mengurangkan jurang kadar cukai antara pemilik tanah di kawasan seperti Seberang Jaya, Bertam, Bandar Cassia dan Bandar Tasik Mutiara yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai Tanah Desa, berbanding pemilik tanah di Butterworth, Bukit Mertajam, Jelutong dan Balik Pulau yang telah lama berstatus Tanah Bandar.
Mengulas kebimbangan kenaikan mendadak cukai, beliau berkata, kerajaan negeri memperkenalkan rebat 50 peratus bagi mengawal kesan kenaikan dan mengurangkan beban pemilik tanah.
"Selain itu, asas rayuan turut ditambah baik dan diumumkan pada 15 Februari lalu, dengan lebih 350 permohonan rayuan kini sedang diteliti oleh Pentadbir Tanah di setiap daerah," ujarnya.
Mengulas dakwaan struktur cukai tanah negeri tidak selaras dengan Seksyen 52 Kanun Tanah Negara yang menetapkan kategori Pertanian, Bangunan dan Perindustrian, Kon Yeow berkata, kenyataan itu kurang tepat.
Jelasnya, Seksyen 101(3)(b) Akta 828 memperuntukkan pihak berkuasa negeri boleh membuat peruntukan berbeza bagi kelas atau perihal tanah berlainan.
"Ia sekali gus membolehkan kadar cukai ditetapkan berdasarkan kegunaan tanah tanpa terikat kepada kategori semata-mata.
"Peruntukan itu juga selaras dengan Seksyen 120, 121 dan 122 yang memberi kuasa menetapkan syarat nyata bagi kategori tanah sebelum pemberimilikan diluluskan manakala Seksyen 124 membolehkan pemilik memohon pindaan kategori atau syarat nyata," tambahnya.
Katanya, struktur baharu yang diwartakan pada 11 September 2025 lebih jelas dan telus apabila hanya membahagikan tanah kepada dua klasifikasi iaitu Tanah Bandar dan Tanah Desa dengan satu kadar masing-masing.
“Sebelum ini, Tanah Bandar mempunyai dua kadar berbeza manakala Tanah Desa tiga kadar berbeza sekali gus mewujudkan jurang yang tidak berpandukan situasi sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menjelaskan isu hak milik First Grade, Condition A, B dan C yang berasal daripada sistem English Deed sebelum merdeka dan tidak menyatakan kategori serta syarat nyata secara jelas.
Menurutnya, terdapat kira-kira 230,000 hak milik sedemikian menyebabkan penentuan kadar cukai perlu dibuat berdasarkan kegunaan semasa di tapak bagi memastikan keadilan.
"Seperti contoh sebidang tanah First Grade di Daerah Seberang Perai Selatan seluas 16,035.64 meter persegi yang sebelum ini dikenakan cukai RM48 setahun atas kadar pertanian (kelapa), namun kini dikenakan RM44,900 berdasarkan kadar perniagaan RM3.25 semeter persegi selepas didapati kegunaan semasa adalah perniagaan.
"Contoh lain di Seberang Perai Tengah membabitkan tanah seluas 6,128.4585 meter persegi yang sebelum ini membayar RM24 setahun atas kadar pertanian (buah-buahan), namun meningkat kepada RM19,918 selepas kegunaan bertukar kepada perniagaan.
"Di Timur Laut pula, tanah seluas 3,814.1561 meter persegi yang sebelum ini dikenakan RM8 setahun kini meningkat kepada RM12,397 selepas semakan mendapati kegunaan semasa adalah perniagaan," katanya.
Menurut beliau, dalam tempoh 30 tahun lalu, pemilik tanah terbabit menikmati kadar cukai amat rendah berbanding pembayar lain yang membayar berdasarkan kegunaan semasa masing-masing.
Mengulas mengenai mekanisme pengurangan cukai, beliau berkata, Kaedah 18 Penang Land Rules 2021 memperuntukkan ruang pengurangan bagi membantu pemilik yang menghadapi kesulitan.
"Memandangkan kadar cukai hanya boleh disemak setiap 10 tahun, pemberian rebat atau pengurangan bayaran bagi tahun semasa atau tempoh tertentu adalah mekanisme paling sesuai, mudah dan telus kepada semua pihak," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri melaksanakan penyeragaman kadar cukai tanah Pulau Pinang dengan National Land Code bagi memastikan ketelusan dan keadilan susulan kebimbangan terhadap kenaikan terbaharu cukai tanah di negeri ini.
Mereka berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan pentadbiran cukai tanah dilaksanakan secara teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Tambah mereka, cukai tanah mesti ditadbir secara ketat dalam rangka kerja undang-undang dan bukan berdasarkan budi bicara.
Ends.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

