Teknologi 'Track and Trace' kesan keaslian durian Pulau Pinang dilaksana 1 Jun

GEORGE TOWN - Pulau Pinang menjalin kerjasama strategik dengan agensi pelaksana, MIMOS Sdn Bhd dalam usaha membangunkan teknologi pintar dikenali sebagai ‘Track and Trace’ bagi memantau hasil pengeluaran durian tempatan secara menyeluruh.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, teknologi tersebut akan dilaksanakan bermula 1 Jun ini sempena bermulanya musim durian.

Tambah Fahmi, langkah itu diambil susulan aduan yang diterima daripada pengusaha tempatan berhubung isu penipuan dan eksploitasi durian oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, penggunaan teknologi berkenaan diyakini dapat menyelesaikan masalah tersebut, selain meningkatkan kecekapan operasi, memastikan pematuhan terhadap peraturan serta membina kepercayaan terhadap produk durian keluaran negeri ini.
“Pelaksanaan teknologi ‘Track and Trace’ ini diharap dapat menjadi penyelesaian kepada permasalahan pengusaha durian tempatan, khususnya di Pulau Pinang.
“Langkah ini juga selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh industri durian dan melindungi kepentingan pengusaha tempatan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Ujar beliau, teknologi ‘Track and Trace’ merupakan platform pintar yang membolehkan setiap peringkat proses pengeluaran durian direkod dan dipantau bagi menjamin ketulenan serta kualiti buah berkenaan.
“Satu kod bar akan dimiliki oleh setiap pemilik ladang, dan mereka akan menerima sijil yang diiktiraf oleh semua agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Pelanggan boleh mengimbas kod bar pada 'tag' yang diletakkan pada tangkai durian untuk mengetahui sama ada ia merupakan durian Pulau Pinang atau sebaliknya,” katanya.

Fahmi berkata, teknologi ini adalah yang pertama di Malaysia untuk memantau keaslian raja buah itu.
“Teknologi ini telah dilaksanakan di Thailand, dan Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakannya.
“Kita menerima banyak aduan kerana terdapat durian dari negeri lain yang dijual atas nama durian Pulau Pinang atau Balik Pulau, menyebabkan pengusaha setempat terpinggir.
“Malah, terdapat juga durian dari Thailand yang dijual di tepi jalan dan apabila dibeli oleh penduduk luar negeri atau pelancong asing, mereka menyangka ia durian Pulau Pinang, sedangkan sebaliknya,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri optimis dalam menjalin kerjasama dengan beberapa pihak termasuk MIMOS dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Kita turut bekerjasama dengan Pejabat Exco Agroteknologi, Pejabat Exco Pelancongan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk merealisasikan usaha ini.
“Kerjasama ini mampu menjadikan industri durian di Pulau Pinang lebih mampan dan berdaya saing di pasaran tempatan serta antarabangsa,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pasaran eksport durian dari Pulau Pinang dijangka mencatatkan peningkatan tahun ini berbanding tahun lalu berikutan permintaan tinggi dari negara pengimport utama seperti China dan Singapura.
Menurutnya, antara varieti atau klon durian paling popular bagi tujuan eksport ialah musang king (D197) dan ochee atau lebih dikenali sebagai black thorn (D200).
“Permintaan yang tinggi terhadap durian Malaysia adalah kerana kualitinya yang terjamin serta pengeluaran buah yang menepati standard pensijilan MyGAP yang diiktiraf oleh negara pengimport seperti China.
“Dua varieti baharu telah didaftarkan di Pulau Pinang iaitu kim long (D230) dan cenderawasih (D229), yang masing-masing didaftarkan pada tahun 2023,” katanya.
Ujar beliau, walaupun terdapat laporan bahawa musim durian lewat dan pengeluaran buah dijangka berkurangan berbanding tahun lalu, ia tidak akan menjejaskan prestasi pasaran eksport.
“Jumlah eksport pada tahun lalu adalah 67,203 kilogram (kg), dan jumlah ini menurun berbanding 67,670 kg yang direkodkan pada 2023, dengan menyaksikan China sebagai pengimport tertinggi iaitu sebanyak 38,800 kg (bagi 2023).
“Musim durian masih bertetapan mengikut kalendar tanaman iaitu sekitar pertengahan Jun hingga Julai, dan berperingkat sehingga luar musim pada Disember dan Januari.
“Ini adalah hasil komitmen tinggi para usahawan durian yang mematuhi piawaian pengurusan ladang di bawah pensijilan MyGAP,” jelasnya.
Fahmi menambah, negeri-negeri jiran seperti Perak dan Kedah turut menyumbang kepada pasaran eksport durian Malaysia kerana turut menanam varieti musang king dan black thorn.
“Selain itu, ramai usahawan durian dari Pulau Pinang juga memiliki dan mengusahakan tanah di luar negeri ini seperti di Perak dan Kedah.
“Gabungan semua faktor ini diyakini akan membantu mengekalkan momentum eksport durian negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!