Bekalan petrol, diesel di Pulau Redang disalur semula - KPDN Terengganu

KPDN mengadakan pertemuan bersama penduduk Pulau Redang pada Selasa lalu berhubung isu gangguan bekalan petrol dan diesel yang dialami sejak lebih dua minggu lalu.
KPDN mengadakan pertemuan bersama penduduk Pulau Redang pada Selasa lalu berhubung isu gangguan bekalan petrol dan diesel yang dialami sejak lebih dua minggu lalu.
A
A
A
KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menangani segera isu gangguan petrol dan diesel di Pulau Redang dengan memastikan bekalan bahan api itu disalurkan semula bermula Khamis.

Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, gangguan bekalan itu berpunca daripada proses peralihan syarikat penghantaran (transporter) yang menguruskan pengangkutan barang kawalan dari pusat bekalan ke kawasan pulau dan pedalaman.

Menurutnya, syarikat penghantaran baharu yang dilantik menerusi proses tender semula telah memulakan penghantaran bekalan pada Khamis, bertepatan dengan tarikh kontrak berkuat kuasa.

"Penyaluran semula bekalan bahan api dijangka bermula hari ini (Khamis) dan akan dilaksanakan secara berperingkat serta dipantau secara rapi bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi secepat mungkin," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Tambah beliau, KPDN Terengganu komited memastikan tiada gangguan jangka panjang terhadap bekalan bahan api di pulau berkenaan.

"Satu pertemuan bersama wakil komuniti Pulau Redang telah diadakan pada 13 Mei (Selasa) lalu bagi memberikan penjelasan serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penduduk yang terjejas.

"Kami menghargai kesabaran dan kerjasama penduduk sepanjang tempoh ini. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan terus ke pejabat KPDN Terengganu atau melalui saluran rasmi kementerian," katanya lagi.

Mohd Mufsi turut menjelaskan bahawa Program Pengedaran Barang Perlu yang dilaksanakan KPDN merupakan sebahagian daripada inisiatif Kita Gempur.

"Program ini bertujuan memastikan barang kawalan dan bersubsidi sampai kepada rakyat dengan lebih cekap dan telus.
Artikel Berkaitan:


"Ia juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani dalam membantu rakyat mengurangkan tekanan kos sara hidup serta membanteras ketirisan dalam pengedaran barang kawalan," ujarnya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan sekumpulan penduduk mendakwa berdepan kesulitan apabila bekalan petrol dan diesel terputus di pulau peranginan itu sejak lebih dua minggu lalu.

Katanya, situasi itu menjejaskan pendapatan mereka terutama pengusaha pelancongan yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan minyak untuk beroperasi setiap hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!