KPDN Terengganu siasat harga makanan medan selera tidak masuk akal

KPDN Terengganu menyiasat dan mengambil tindakan berhubung aduan mengenai sebuah medan selera berdekatan HSNZ yang didakwa mengenakan harga tidak masuk akal. Foto hiasan (Gambar kecil: Saharuddin)
KPDN Terengganu menyiasat dan mengambil tindakan berhubung aduan mengenai sebuah medan selera berdekatan HSNZ yang didakwa mengenakan harga tidak masuk akal. Foto hiasan (Gambar kecil: Saharuddin)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu telah menyiasat dan mengambil tindakan berhubung aduan mengenai sebuah medan selera berdekatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini yang didakwa mengenakan harga tidak masuk akal.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, siasatan tersebut dijalankan penguat kuasa pada Rabu lalu selepas pihaknya mengesan hantaran tular dikongsikan pengguna menerusi laman sosial Facebook pada hari sama.

Menurutnya, aduan diterima berkaitan tiada penandaan harga pada makanan yang dijual serta harga mahal berbanding premis lain.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati premis menjual pelbagai makanan sedia bungkus dan makanan ringan gagal mempamerkan tanda harga.

"Satu tindakan telah diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi kesalahan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan lain dijalankan di premis jualan makanan sedia masak, minuman, masakan panas serta premis yang menjual barangan runcit mendapati ia mematuhi akta-akta dikuatkuasakan KPDN.

Sehubungan itu, katanya, golongan peniaga diberi amaran agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan dikuatkuasakan serta tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan serta makanan yang dijual.

Rabu lalu, tular di media sosial hantaran mengenai sebuah medan selera yang didakwa mengenakan harga tinggi terhadap makanan dijual berbanding di tempat lain.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, hantaran tersebut juga mendakwa terdapat peniaga di situ tidak mempamerkan tanda harga terhadap barangan yang dijual.

Menerusi hantaran tersebut, individu tersebut mendakwa tindakan itu tidak patut dilakukan kerana disifatkan sebagai mengambil kesempatan ke atas waris pesakit yang menunggu ahli keluarga di hospital berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!