Jual minyak subsidi nelayan kepada industri, KPDN sita lebih 50,000 liter diesel

MANJUNG - Kegiatan licik sindiket menyeleweng diesel bersubsidi nelayan untuk dijual kepada pihak industri akhirnya terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menyerbu sebuah premis dalam satu operasi di Pantai Remis pada Rabu.
Operasi hasil risikan sebulan menerusi Ops Tiris 3.0 itu membawa kepada penemuan kira-kira 50,900 liter cecair disyaki minyak diesel bersubsidi yang disimpan di dalam sebuah kapal dan tangki simpanan khas.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung di sebuah premis di kawasan Pantai Remis.
“Hasil pemeriksaan mendapati sindiket terbabit dipercayai membeli minyak diesel menggunakan kuota subsidi milik bot lain, kemudian menjualnya semula kepada pihak industri pada harga tidak bersubsidi.
“Siasatan turut mendedahkan sindiket ini telah mengubah suai tangki asal bot dari kapasiti 3,000 liter kepada tangki tambahan berkapasiti 7,000 liter bagi menyimpan diesel subsidi dalam jumlah lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, sebuah bot didapati sedang menjalankan aktiviti pemindahan diesel dari tangki kapal ke tangki simpanan khas menggunakan hos dan pam penyedut.
“Kami turut menemui beberapa dokumen pembelian dan penjualan serta kad kuota bot lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan ini.
“Premis berkenaan juga memiliki lesen sah untuk menyimpan diesel tidak bersubsidi dengan had simpanan 58,000 liter bagi kegunaan bot nelayan kategori C2,” katanya.
Kamalludin berkata, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang mengaku pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, keseluruhan barangan termasuk bot pukat hanyut, peralatan menyedut minyak dan diesel yang disita dianggarkan bernilai RM355,040.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi individu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!