Pengarah syarikat bergelar Datuk Seri didakwa kes rasuah RM15 juta

Choo Thiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta.
Choo Thiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada Jun dan Julai tahun lalu.

Sim Choo Thiam, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada seorang Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd melalui seorang lagi lelaki.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah nilai sama iaitu masing-masing RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada individu sama, sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Low Wei Loke, Hannah Kam dan Kei Wei Lon.

Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan perlu memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada Mahkamah serta melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 14 Jun depan untuk sebutan semula kes.