Kumpulan jemaah haji di Madinah berangkat ke Makkah secara berperingkat

Shahidan (tengah) ketika melihat kemudahan penginapan yang disediakan untuk kumpulan pertama jemaah haji di Madinah.
Shahidan (tengah) ketika melihat kemudahan penginapan yang disediakan untuk kumpulan pertama jemaah haji di Madinah.
A
A
A

MADINAH - Kumpulan pertama jemaah haji yang sudah tiba di Madinah sejak 29 April lalu dijangka berangkat ke Makkah Ahad ini.

Pengurus Zon 2 Madinah, Shahidan Ishak berkata, sehari sebelum ke Tanah Suci, taklimat keberangkatan akan diberikan oleh petugas di zon yang ditetapkan serta pegawai bimbingan dan ziarah.

Menurutnya, dalam taklimat tersebut, jemaah haji akan dimaklumkan mengenai persediaan untuk melaksanakan umrah ketika ke Makkah selain memastikan jemaah memenuhi lain-lain keperluan.

“Tanpa taklimat ini, mungkin jemaah haji akan tertanya-tanya mengenai persediaan dan kelengkapan yang perlu mereka buat dan sediakan sebelum bertolak ke Makkah.

“Jadi, taklimat ini sangat penting bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadah dengan baik semasa di Madinah dan sebagai persediaan sebelum ke Makkah untuk laksanakan ibadat haji,” katanya.

Shahidan berkata, selain taklimat, Tabung Haji (TH) juga menyediakan kaunter bimbingan dan ziarah di pejabat operasi TH yang sentiasa bersedia menjawab pertanyaan jemaah haji.

Katanya, TH ingin memastikan segala kemudahan disediakan untuk jemaah haji dapat dipertingkat dari semasa ke semasa.

“Dari tanah air lagi, TH telah membuat persediaan termasuk dalam memberikan bimbingan kepada jemaah haji.

“Dengan perancangan yang baik, ia memudahkan pihak operasi zon memastikan kelancaran operasi pada tahap maksimum,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memuji jemaah Malaysia yang mematuhi disiplin, menepati pengurusan masa dan mengikut peraturan ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, beliau berkata, Hotel Emaar Royal merupakan lokasi penginapan untuk operasi zon 2 di Madinah.

Katanya, hotel berkenaan boleh menempatkan sehingga 1,870 jemaah haji pada satu-satu masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!