[VIDEO] 284 jemaah haji kumpulan pertama berangkat ke Tanah Suci
SEPANG – Musim haji 1446 Hijrah secara rasmi bermula apabila seramai 284 jemaah dari stesen berlepas Alor Star, Kedah dan Sepang, Selangor berangkat ke Tanah Suci menerusi penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Selasa.
Jemaah berkenaan dijadualkan berlepas pada jam 4.05 pagi menerusi pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 7.50 pagi waktu tempatan, hari yang sama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) untuk terus menjaga kebajikan setiap jemaah haji negara sepanjang perjalanan ibadah mereka.
Beliau memuji dedikasi TH dalam mengendalikan urusan haji secara menyeluruh, merangkumi persediaan sebelum berlepas, kebajikan semasa di Tanah Suci sehingga proses kepulangan ke tanah air.
"Ia bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan pengurusan yang cemerlang," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji di KLIA awal pagi Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta barisan pengurusan kanan TH.
Mohd Na’im turut mengingatkan para jemaah supaya memanfaatkan peluang berharga sebagai tetamu ALLAH dengan memperbanyakkan amal ibadat dan menjaga niat sepanjang berada di Tanah Suci.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua jemaah Malaysia supaya mengekalkan imej baik negara dengan mematuhi undang-undang serta peraturan Kerajaan Arab Saudi.
“Saya ingin mengingatkan semua jemaah agar mengelakkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah. Fokuslah kepada ibadah dan patuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak Tabung Haji untuk mencapai haji yang mabrur," tambah beliau.
Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah, atas kerjasama erat menerusi inisiatif ‘Makkah Route’ yang kini memasuki tahun ketujuh pelaksanaannya.
Dalam masa sama, beliau mengulangi kenyataan bahawa Malaysia telah mencatat sejarah sebagai negara pertama di dunia yang mengagihkan Kad Nusuk kepada jemaah haji di dalam negara sendiri.
Kad ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Tabung Haji, dan syarikat pengendali jemaah haji Malaysia, AlMasMasyair.

“Inisiatif ini membuktikan hubungan erat antara kedua-dua negara dalam usaha mempermudah serta memperkemaskan urusan perjalanan jemaah Malaysia, selain mengurangkan kesesakan semasa ketibaan di Tanah Suci," jelas beliau.
Bagi musim ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan menerusi AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines, melibatkan seramai 31,600 jemaah.
Penerbangan pertama bermula hari ini dan dijadualkan berakhir pada 1 Jun 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Tabung Haji turut memaklumkan bahawa para petugas haji telah mula dihantar ke Arab Saudi seawal 24 April lalu bagi melakukan persiapan awal menyambut ketibaan para tetamu Allah.
Selain stesen berlepas Alor Star dan Sepang, enam lagi stesen berlepas akan digunakan jemaah di seluruh negara, iaitu Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!