Persiapan sambut jemaah haji di Makkah capai tahap lebih 90 peratus

Mohd Fahmi (dua dari kanan) ketika melihat bilik penginapan yang akan dihuni jemaah haji di Hotel Abraj Al Tayseer di sini.
Mohd Fahmi (dua dari kanan) ketika melihat bilik penginapan yang akan dihuni jemaah haji di Hotel Abraj Al Tayseer di sini.
A
A
A

MAKKAH – Persiapan bagi menyambut ketibaan secara berperingkat jemaah haji Malaysia di Makkah kini berada pada tahap lebih 90 peratus dengan petugas telah tiba lebih awal sejak 28 April lalu.

Pengarah Operasi Maktab Makkah, Mohd Fahmi Kamaruddin berkata, seramai 72 petugas berkhidmat di maktab berkenaan bagi memastikan segala keperluan jemaah berjalan lancar sepanjang musim haji tahun ini.

“Setakat ini, hampir semua persiapan telah siap di bangunan penginapan jemaah haji.

“Seramai 838 jemaah haji daripada penerbangan KT001, KT002 dan KT003 akan tiba secara berperingkat dari Madinah bermula 5 petang Ahad,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji Makkah.

Mohd Fahmi ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji Makkah.
Mohd Fahmi ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji Makkah.

Mohd Fahmi berkata, jemaah haji berkenaan akan ditempatkan di beberapa hotel penginapan iaitu di Abraj Al-Janadriyah, Land Premium dan Abraj Al Tayseer.

Katanya, ketiga-tiga hotel berkenaan terletak dalam lingkungan satu kilometer dari jarak Masjidil Haram dengan tempoh berjalan kaki dianggarkan sekitar 15 hingga 20 minit.

Ujarnya, beberapa penambahbaikan baharu turut dilaksanakan tahun ini termasuk memperkenalkan penggunaan aplikasi Google Walk kepada jemaah bagi menjejak laluan berjalan kaki ke masjid dengan lebih mudah.

“Kita galakkan jemaah berjalan kaki ke Masjidil Haram, tetapi mereka masih boleh menggunakan pengangkutan seperti teksi, bas atau perkhidmatan e-hailing sekiranya perlu.

Artikel Berkaitan:

“Sebaik tiba di Makkah, jemaah akan menunaikan umrah pertama dengan dibimbing oleh pembimbing ibadat haji dan pemantauan rapi akan dilakukan oleh pasukan operasi serta pasukan peronda maktab di kawasan Masjidil Haram,” jelasnya.

Mohd Fahmi ketika mengadakan perbincangan dengan petugas Tabung Haji berhubung persiapan akhir di lokasi penginapan jemaah haji di Hotel Abraj Al Tayseer di sini.
Mohd Fahmi ketika mengadakan perbincangan dengan petugas Tabung Haji berhubung persiapan akhir di lokasi penginapan jemaah haji di Hotel Abraj Al Tayseer di sini.

Beliau berkata, selain aplikasi TH Hujjaj, grup WhatsApp juga akan digunakan bagi memudahkan penyampaian maklumat kepada jemaah haji.

Dalam pada itu, Mohd Fahmi mengingatkan jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi dengan cuaca panas melampau yang dijangka melanda Makkah pada musim haji kali ini.

“Jemaah dinasihatkan tidak terlalu terdedah kepada panas. Jika hadapi kesukaran untuk solat di masjid, boleh guna pengangkutan seperti teksi bagi elak risiko kesihatan.

“Fokus utama kita adalah untuk memastikan kesihatan jemaah berada pada tahap terbaik menjelang operasi kemuncak di Arafah, Muzdalifah dan Mina (Masyair),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!