Penduduk Bukit Jati bimbang lori berat ancam keselamatan

Kehadiran lori-lori besar di laluan sempit boleh mengundang bahaya kepada penduduk. Gambar kecil dari kiri: Badrul Hisham, Aminudin, Khairul Atar
Kehadiran lori-lori besar di laluan sempit boleh mengundang bahaya kepada penduduk. Gambar kecil dari kiri: Badrul Hisham, Aminudin, Khairul Atar
A
A
A

KLANG – Kira-kira 210 keluarga di Taman Bukit Jati, Kampung Jawa di sini meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dan keselesaan mereka selepas laluan perumahan di kawasan itu digunakan sebagai jalan utama lori muatan berat, dipercayai terlibat dalam projek pembangunan infrastruktur pengangkutan berdekatan.

Seorang penduduk, Badrul Hisham Abdul Hamid, 64, berkata, Lorong Bukit Jati 3, 4 dan 5 kini menjadi laluan tetap lori berat menuju ke tapak pembinaan sekali gus menimbulkan risiko kemalangan, terutama pada waktu puncak.

"Lori ini mengundang bahaya, terutamanya ketika anak-anak keluar ke sekolah dengan menunggang basikal, bermotosikal dan berjalan kaki.

“Kehadiran lori-lori besar di laluan sempit ini boleh mengancam nyawa penduduk,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Menurut beliau, laluan tersebut tidak sesuai digunakan oleh lori berat kerana terletak di kawasan perumahan dan sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.

“Selain risiko kemalangan, lori-lori membawa muatan tanah turut menyebabkan gangguan seperti debu berterbangan dan pencemaran udara. Rumah jadi kotor dan kesihatan penduduk juga terjejas,” ujarnya.

Penduduk mengadakan sidang akhbar berhubung kehadiran lori muatan berat yang didakwa terlibat dalam projek pembangunan infrastruktur pengangkutan berhampiran kawasan itu.
Penduduk mengadakan sidang akhbar berhubung kehadiran lori muatan berat yang didakwa terlibat dalam projek pembangunan infrastruktur pengangkutan berhampiran kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, Khairul Atar Mohd, 57, berkata, kehadiran lori sejak tiga minggu lalu itu sememangnya merimaskan dan mencetuskan keresahan.

Katanya, antara kebimbangan utama ialah risiko kerosakan struktur rumah akibat getaran daripada lori bermuatan berat.

Artikel Berkaitan:

“Kami bimbang rumah akan retak atau rosak jika keadaan ini berlarutan. Lebih membimbangkan, siapa yang akan tanggung ganti rugi?

“Kita tidak mahu hanya selepas berlaku kemalangan atau kerosakan baru tindakan diambil. Isu ini perlu diselesaikan segera,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Jati, Aminudin Mokmin meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menghentikan penggunaan laluan perumahan sebagai akses ke tapak projek berkenaan.

Beliau berkata, kontraktor terlibat perlu mencari laluan alternatif yang lebih selamat dan tidak mengganggu kesejahteraan penduduk.

“Saya percaya lori-lori ini melebihi lapan tan, sedangkan laluan perumahan ini hanya dibina untuk kenderaan di bawah lima tan.

“Kami juga dapati tiada papan tanda amaran, makluman atau pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di lokasi kerja,” katanya.

Aminudin turut menggesa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Pejabat Daerah dan Tanah Klang serta agensi berkaitan termasuk polis agar segera memanggil syarikat-syarikat terlibat untuk berbincang mengenai pematuhan SOP dan meneliti semula kelulusan laluan lori di kawasan perumahan.

Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MBDK berhubung isu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!