Kolam takungan Taman Seri Alam pecah lagi, penduduk tuntut penyelesaian muktamad

Limpahan air dari kolam yang pecah memasuki beberapa buah rumah
Limpahan air dari kolam yang pecah memasuki beberapa buah rumah
A
A
A

KUALA SELANGOR – Penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama di sini kembali dikejutkan dengan insiden kolam takungan pecah buat kali ketiga pada awal pagi pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu mencetuskan kebimbangan dan kemarahan komuniti yang sudah lama bergelut dengan isu keselamatan dan kerosakan harta benda.

Menurut penduduk, Mohamad Fairuz Jumain, limpahan air dari kolam yang pecah itu dilihat memasuki beberapa buah rumah ketika dia dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah awal pagi tadi.

Penduduk turut berkongsi gambar keadaan dalam rumah mereka akibat kolam takungan pecah di media sosial
Penduduk turut berkongsi gambar keadaan dalam rumah mereka akibat kolam takungan pecah di media sosial

"Ramai kenalan yang tinggal di kawasan terjejas dan ini merupakan kali ketiga mereka menghadapi situasi ini," ujarnya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, penduduk dikenali sebagai Siti Rohani pula menggesa pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera menutup kolam takungan berkenaan seperti mana disaran penduduk sebelum ini.

“Kesian jiran-jiran kami. Ada rumah dah masuk air. Kali ini, kami minta kambus terus kolam tu. Menyusahkan penduduk sahaja,” ujarnya.

Wanita itu juga kecewa kerana insiden terbaharu ini menambahkan lagi luka lama penduduk di kawasan itu yang masih belum sembuh.

Kali kedua kolam itu pecah berlaku pada Disember tahun lalu apabila air melimpah setinggi 0.3 meter dan melanda kawasan perumahan secara mendadak, sehingga digambarkan penduduk sebagai 'tsunami kecil'.

Artikel Berkaitan:

Seorang penduduk, Mohd Syukri Kamaruddin, sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangan terhadap struktur kolam yang didakwanya tidak kukuh akibat ketiadaan 'beam' dan cerucuk asas.

Jelasnya, kejadian kali kedua itu telah menyebabkan kerosakan harta benda yang ketara.

“Kali pertama berlaku pada 2015, tapi tidak seteruk kejadian Disember lalu. Masa tu air setinggi 0.1 meter.

“Tapi Ahad tahun lepas, air naik mendadak, penduduk langsung tak sempat selamatkan barang,” ujarnya.

Kini, penduduk sepakat menuntut agar kolam tersebut ditutup sepenuhnya demi keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!