'Saya dah pesan penduduk Kampung Sungai Baru jangan tandatangan perjanjian' - Johari

Johari ketika ditemui pengamal media pada Rumah Terbuka Kementerian Perladangan dan Komoditi di Kampung Baru pada Sabtu. Foto Bernama
Johari ketika ditemui pengamal media pada Rumah Terbuka Kementerian Perladangan dan Komoditi di Kampung Baru pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan beliau telah mengingatkan dan melarang penduduk Kampung Sungai Baru daripada menandatangani perjanjian pembangunan di kampung terbabit sebelum ini

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memaklumkan telah memberi pesanan kepada penduduk terbabit sejak dari awal, namun mereka tetap meneruskan proses menandatangani itu.

Disebabkan itu, Johari memaklumkan, beliau akan mengadakan satu sidang akhbar khas pada minggu hadapan bagi memberi penjelasan tentang isu sebenar dan menghurai kekeliruan berhubung isu Kampung Sungai Baru.

“Mengenai isu Kampung Sungai Baru, satu sidang akhbar khas akan saya adakan minggu hadapan kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke sini (Kampung Sungai Baru) tidak memahami (isu sebenar).

“Malah sejak penggal pertama saya menjadi wakil rakyat, saya sudah pesan untuk (mereka) tidak tandatangan tetapi mereka tetap tandatangan," katanya.

Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi di Pintu Gerbang Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menurutnya lagi, sidang media terbabit akan memperincikan perkembangan isu bermula dari awal hingga akhir, sekali gus memastikan semua pihak memahami perkara sebenar.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuasa hati dengan pampasan yang diperoleh.

Artikel Berkaitan:

Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Jelas beliau, proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.

Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.

Terbaharu, penduduk unit flat yang terlibat dengan APT 1960 menerima notis pengosongan premis berkuat kuasa Rabu ini, menjelang beberapa hari sebelum Aidilfitri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!