Pemilik, pemandu lori berlagak samseng ancam anggota JPJ

SEMENYIH - Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan ancaman tonto selain diugut oleh pemilik lori selepas dua kenderaan perdagangan itu ditahan atas kesalahan lebih muatan semasa operasi di Persiaran Perdana, Putrajaya, baru-baru ini.
Semasa ditahan pada 12 April lalu, pemilik kenderaan perdagangan terbabit datang dengan menaiki Toyota Vellfire dengan beberapa tonto dan membuat provokasi terhadap anggota bertugas.
Difahamkan, pemandu lori juga dalam masa sama dikatakan telah mematikan Sistem Kedudukan Global (GPS) serta memancitkan tayar salah sebuah lori terbabit hingga tidak boleh bergerak.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berikutan itu, anggota JPJ telah membuat tiga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkenaan kes menghalang tugas penjawat awam serta 'tyre man' yang datang untuk membaiki tayar lori selain kenderaan Toyota Vellfire yang dilarikan suspek.
"Kita telah mendapat kerjasama baik daripada Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Daerah Putrajaya berkenaan kes ini.
"Suspek juga mengugut 'tyre man' dengan memberitahu dia mengetahui di mana kedai dan tempat kerjanya," katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguat kuasa Semenyih di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan serta Timbalannya, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.
Beliau berkata, susulan itu, tiga lelaki iaitu dua pemandu lori serta pemilik berusia lingkungan 40-an telah ditahan polis untuk siasatan.
Tambahnya, difahamkan kertas siasatan kes terbabit juga telah diserahkan polis kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam kes berlainan, Muhammad Kifli juga mendedahkan kejadian minggu lepas di mana anggotanya dikepung lapan orang tonto diupah syarikat lori selepas menahan sebuah lori dipandu warga asing yang membawa muatan batu melebihi had di Rawang, Selangor.
"Dalam tempoh sama juga, JPJ menahan pemandu lori warga asing. Pemandu itu turun dari kenderaannya dan berhenti sebelum diambil oleh tonto lalu dibawa lari," ujarnya.

Tambahnya, isu ini merupakan tentangan yang perlu dihadapi JPJ dalam menjalankan penguatkuasaan.
"Kita bukan hendak menyusahkan pemandu, tetapi mahu memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain. Diingatkan agar pemandu lori serta pemilik untuk memberi kerjasama," katanya.
Tegasnya, bagi kesalahan tidak memberikan kerjasama kepada pegawai JPJ khususnya arahan timbang berat kenderaan, sabit kesalahan boleh diambil di bawah Subseksyen 234(c) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang akan didenda tidak lebih RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
"Bagi kesalahan lebih muatan pula, jika disabitkan boleh diambil tindakan di bawah Subseksyen 57(3) APAD 2010 iaitu tidak kurang RM1,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
"Kenderaan itu juga boleh diambil tindakan di bawah Subseksyen 80(4) APAD 2010 untuk disita dan dilucuthak oleh mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
