[VIDEO] JPV Terengganu vaksin ternakan, cegah penularan hawar berdarah

A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengambil langkah segera melakukan vaksinasi ke atas lebih 220 ekor lembu dan kerbau bagi membendung penularan wabak hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) yang dikesan menular di daerah ini.

Pengarahnya, Dr Anun Man berkata, proses vaksinasi dilakukan ke atas ternakan di kawasan berisiko, dalam radius lima kilometer dari lokasi wabak dikesan di Kampung Dusun Tembakau, Manir, di sini, pada 7 April lalu.

"Langkah kawalan menerusi proses vaksinasi giat dilaksanakan kerana dikhuatiri menjejaskan bekalan lembu untuk ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tidak lama lagi memandangkan dalam tempoh itu berlaku peningkatan permintaan terhadap haiwan ternakan ini.

"Kita risau sekiranya penularan penyakit ini tidak dikawal, ia akan menjejaskan kelancaran ibadah korban. Kita juga bimbang, apabila permintaan tinggi, terdapat kemasukan lembu secara haram dari luar," katanya ketika meninjau proses vaksinasi lembu dan kerbau di Kampung Manir, di sini pada Ahad.

Dr Anun (tengah) menjelaskan kepada penternak mengenai cecair vaksin yang disuntik ke atas ternakan di kawasan berisiko dijangkiti hawar berdarah
Dr Anun (tengah) menjelaskan kepada penternak mengenai cecair vaksin yang disuntik ke atas ternakan di kawasan berisiko dijangkiti hawar berdarah

Beliau berkata, langkah kawalan dan kuarantin mula dilaksanakan pada 24 April lalu selepas pengesahan wabak, dan dalam tempoh dua hari, JPV berjaya menjalankan pemvaksinan ke atas 25 peratus ternakan daripada keseluruhan ladang berisiko.

"Proses kemasukan serta pemindahan keluar ternakan untuk tujuan korban atau sembelihan memerlukan permit pengesahan kesihatan.

"Sebarang pemindahan keluar masuk ternakan di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai zon wabak (zon merah) dan zon kawalan (zon hijau) adalah tidak dibenarkan berkuat kuasa sehingga dimaklumkan semula," katanya.

Dalam pada itu, Dr Anun berkata, JPV berdepan cabaran bagi mengawal wabak itu disebabkan kaedah penternakan secara lepas bebas oleh sebahagian besar penternak kerbau di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, pihak jabatan menyediakan kandang kepungan (korel) bagi tujuan kuarantin dan suntikan vaksin terhadap ternakan berkenaan.

Anggota JPV melakukan proses vaksinasi ke atas ternakan di Manir, Kuala Terengganu.
Anggota JPV melakukan proses vaksinasi ke atas ternakan di Manir, Kuala Terengganu.

Jelas beliau, penternak yang telah bersedia dengan ternakan dalam kandang diminta menghubungi JPV bagi proses pemvaksinan segera.

"Kerbau dipelihara secara lepas bebas berisiko tinggi dijangkiti HS kerana terdedah kepada cuaca ekstrem hujan dan panas.

"Jadi, golongan penternak diminta memastikan ternakan peliharaan mereka dikurung dan tidak dilepaskan secara bebas bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak ini sekali gus memudahkan proses vaksinasi," katanya.

Hawar berdarah merupakan penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella multocida (p. multocida) Carter's Type B yang biasanya menyerang kerbau dan lembu serta boleh menyebabkan kematian dalam tempoh 8 hingga 24 jam selepas dijangkiti.

Walaupun penyakit itu tidak menjangkiti manusia dan tidak zoonotik, ia mempunyai kadar kematian sehingga 100 peratus terhadap ternakan terjangkit kerana bakteria tersebut rentan terhadap antibiotik.

Sebelum ini, penularan wabak hawar berdarah mula dikesan selepas kematian 25 ekor kerbau yang dipelihara secara berkelompok oleh enam penternak di Kampung Dusun Tembakau, Manir.

Tahun lalu, JPV Terengganu melakukan 11,731 suntikan vaksin bagi mencegah penyakit HS ke atas ternakan lembu dan kerbau di Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!