25 ekor kerbau mati diserang hawar berdarah

Penyakit hawar berdarah menyebabkan kematian 25 ekor kerbau yang diternak secara berkelompok oleh enam penternak di Kampung Dusun Tembakau, Manir di Kuala Terengganu
Penyakit hawar berdarah menyebabkan kematian 25 ekor kerbau yang diternak secara berkelompok oleh enam penternak di Kampung Dusun Tembakau, Manir di Kuala Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 25 ekor kerbau dilaporkan mati akibat diserang penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) di Kampung Dusun Tembakau, Manir di sini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyakit itu dikesan menular di kawasan ternakan 120 ekor kerbau diusahakan secara berkelompok oleh enam penternak sejak 7 April lalu.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu giat menjalankan tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengelak penularan penyakit itu ke kawasan lain.

Anggota JPV memeriksa kerbau yang dikesan mati di Kampung Dusun Tembakau, Manir di Kuala Terengganu.
Anggota JPV memeriksa kerbau yang dikesan mati di Kampung Dusun Tembakau, Manir di Kuala Terengganu.

"Post mortem dan persampelan dibuat terhadap haiwan terlibat pada 7 April dan tindakan sewajarnya untuk kawalan telah diambil sehingga disahkan positif pada 22 April lalu.

"Notis arahan kuarantin dikeluarkan kepada penternak terlibat pada Khamis (24 April) mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kawalan pemindahan ternakan melibatkan tujuh mukim di daerah Kuala Terengganu melibatkan Gelugor Raja / Kubang Parit, Mukim Losong / Paloh, Mukim Gelugor / Rengas, Mukim Manir (Tanah lot), Mukim Belara (Pulau Bahagia), Mukim Belara (Kesom / Banggol) dan Mukim Manir (Petai Bubus)

"Bagi daerah Kuala Nerus pula melibatkan tiga kawasan iaitu Tepoh, Wakaf Tembesu dan Bukit Tunggal.

Artikel Berkaitan:

"Larangan pemindahan keluar dan masuk ternakan lembu atau kerbau dari kawasan terjejas turut dilaksanakan dalam radius 5 kilometer dari lokasi wabak, kecuali bagi tujuan ke rumah sembelih di Gong Badak dan rumah sembelih swasta berlesen Jusoh Tok Rimau, di Kuala Terengganu," ujarnya.

Azman memberitahu, bantuan kandang kepungan (korel) telah disediakan untuk tujuan kuarantin serta memudahkan rawatan dan pemantauan ternakan yang menunjukkan gejala.

"Penternak turut dibekalkan satu tong kapur berklorin untuk tujuan nyahkuman bagi mengurangkan risiko penularan penyakit yang boleh disebarkan melalui cairan atau lendir haiwan berpenyakit," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, setakat ini sebanyak 343 suntikan vaksin HS telah diberikan di kawasan berisiko banjir bagi tahun 2025 manakala pada tahun lalu lebih 11,000 suntikan telah dilakukan sebagai langkah pencegahan.

Katanya, orang ramai dan penternak juga dinasihatkan supaya melakukan disinfeksi berkala terhadap kandang dan peralatan, serta peka terhadap tanda-tanda klinikal penyakit tersebut.

"Antara simptom HS termasuk kemurungan, bengkak di bahagian kepala dan leher, mulut dan hidung berbuih, konjunktivitis serta kesukaran bernafas.

"Sebarang maklumat atau laporan berkaitan penyakit ini boleh disalurkan ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu di talian 09-6221822," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!