KPPM, Pengarah Peperiksaan wajar undur demi maruah negara - Maszlee Malik

Maszlee
Maszlee
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan bahawa Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), timbalan yang berkaitan, dan Pengarah Lembaga Peperiksaan perlu bertanggungjawab serta meletakkan jawatan secara terhormat susulan kesilapan grafik bendera Malaysia dalam laporan analisis keputusan SPM 2024.

Beliau berkata, melepaskan jawatan bukanlah sesuatu yang mengaibkan jika ia didasari oleh prinsip dan maruah bangsa dan negara.

“Seseorang mesti bertanggungjawab atas kesalahan dan kecuaian yang memalukan ini. Jika semua proses ketat itu telah dilakukan tetapi kesalahan tetap berlaku, maka langkah terhormat adalah untuk berundur demi menjaga prinsip dan integriti pentadbiran,” tegas beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat

Maszlee berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggunakan grafik bendera Malaysia yang salah dalam laporan analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Jelasnya, insiden memalukan itu berlaku hanya beberapa hari selepas kementerian yang sama mewajibkan pelajar memakai bendera negara bersama pakaian seragam sekolah pada hari Isnin.

“Tiada perkataan lain yang sesuai untuk menggambarkan insiden ini selain memalukan. Walaupun kesilapannya kelihatan minimal kerana grafik itu hanya digunakan sebagai hiasan dalam gambar di dalam muka surat laporan dan bukan di muka hadapan, namun kesalahan tetap kesalahan,” ujarnya.

Jelas beliau, isu sebegini menimbulkan persoalan bagaimana sebuah dokumen rasmi kerajaan boleh terlepas dengan kesalahan terhadap lambang negara lebih-lebih lagi apabila ia dikeluarkan oleh KPM yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik rakyat.

“Jawapannya mudah, kelalaian, kecuaian, sikap tidak cermat dan tidak berdisiplin dalam menjalankan amanah. Dokumen rasmi kerajaan sepatutnya melalui prosedur dan SOP yang ketat serta ditapis pada pelbagai peringkat sebelum diluluskan,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Maszlee turut berkongsi pengalaman ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan sebelum ini, menjelaskan bahawa sebarang laporan penting akan melalui proses semakan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan, disusuli Ketua Pengarah Pendidikan, dan kemudiannya dibawa ke peringkat menteri untuk kelulusan.

“Jika ia melibatkan isu pentadbiran dan tatakelola, Ketua Setiausaha (KSU) juga akan meneliti. Setiausaha akhbar (SUA) menteri pula akan menyemak dari sudut naratif, imej dan publisiti, selain pegawai khas akan melihat isi dan grafik. Semuanya bagi memastikan tiada kesilapan, cacat atau kecuaian yang akan menjejaskan imej kerajaan,” katanya.

Beliau yakin jika amalan semakan ketat seperti ini diteruskan, insiden seperti kesilapan grafik bendera tidak akan berlaku.

Terdahulu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Khamis berkata tindakan akan diambil ke atas kesilapan berkenaan.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim sudah diarahkan supaya menyediakan laporan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!