Isu Jalur Gemilang KPM: Polis siasat kesilapan sengaja atau tidak

KUALA LUMPUR - Polis akan siasat jika ada laporan berkaitan kesilapan paparan bendera Jalur Gemilang dipaparkan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya akan menyiasat kesilapan itu disengajakan atau sebaliknya setelah laporan diterima.
"Setakat ini kita belum menerima laporan berkaitan isu berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Rusdi menasihatkan semua pihak harus lebih berwaspada ketika menggunakan teknologi agar kesilapan berkenaan tidak berulang pada masa hadapan.
"Kadang-kadang kesilapan boleh berlaku jika menggunakan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) perlu sentiasa semak sebelum membuat keputusan," ujarnya.
Pada Khamis, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf atas kesilapan paparan bendera Jalur Gemilang dipaparkan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM.
KPM dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas dan serta-merta telah diambil terhadap semua pihak terlibat.
Katanya, kecuaian tersebut tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.
Siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan. Laporan analisis yang dicetak telah diminta untuk dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan.
Terdahulu, menerusi Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM yang diedarkan hari ini terdapat beberapa imej janaan AI memaparkan kesalahan pada bendera Jalur Gemilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!