Tiada layanan dua darjat siasat insiden Jalur Gemilang - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada layanan dua darjat dalam siasatan insiden kesilapan paparan imej Jalur Gemilang yang berlaku sejak akhir-akhir.

Anwar berkata, siasatan dilakukan tanpa mengira pihak terlibat sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan.

Menurutnya, meskipun inovasi dalam bidang teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) yang kian meluas dalam sektor media, pendidikan dan perniagaan, ia tidak boleh menggantikan tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia.

"Setiap bahan yang melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat mesti melalui semakan yang teliti dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama," katanya menerusi Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Tunku Abaidah pada Khamis.

Ujar Anwar, AI merupakan teknologi hebat tetapi jika digunakan secara cukai, ia boleh mengundang implikasi yang besar terhadap keharmonian negara.

"Kesilapan paparan Jalur Gemilang dipercayai berpunca daripada AI tidak boleh dipandang ringan," jelas beliau.

Sebelum ini terdapat dua insiden dilaporkan berkaitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap melibatkan akhbar Sin Chew Daily dan sebuah syarikat luar negara yang menyertai pameran di Kuala Lumpur.

Terbaharu, kesalahan paparan imej Jalur Gemilang turut dikesan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Artikel Berkaitan:

Menurut Anwar, kementerian perlu menunjukkan kepekaan yang lebih tinggi terhadap elemen-elemen yang membawa identiti negara, terutamanya dalam dokumen rasmi yang melibatkan jutaan pelajar dan ibu bapa.

Terdahulu, KPM menerusi kenyataan membuat permohonan maaf sebaik sahaja kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang disedari.

Buku laporan itu diedarkan kepada pemberita selepas sidang akhbar keputusan SPM 2024 yang dikendalikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!