Isu Jalur Gemilang: Bekas Exco Selangor lontar sindiran

Laporan Sinar Harian berkaitan isu Jalur Gemilang KPM.
Laporan Sinar Harian berkaitan isu Jalur Gemilang KPM.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim menyindir kerajaan dan meminta agar ketua kementerian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digantung susulan kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Chang Khim berkata, perkara tersebut perlu dilakukan mengikut piawaian negara dan beberapa 'patriot'.

Menurutnya, Perdana Menteri mesti menegaskan semula bahawa ia adalah perkara yang serius dan mesti ditangani mengikut undang-undang.

"Pihak polis mesti menahan ketua kementerian dan memanggil 40 individu lain untuk direkodkan kenyataan.

"Selain itu, mereka yang hadir ke pejabat Sin Chew Daily untuk membantah pembatalan permit percetakan syarikat itu kini perlu pergi ke ibu pejabat KPM untuk membantah dan mendesak supaya ia ditutup," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.

KPM memohon maaf diatas kesilapan tersebut dan akan mengambil tindakan tegas secara serta-merta ke atas semua yang terlibat.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk teguran daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah agar pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!