55 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah

KUALA LUMPUR - Kira-kira 55 jemaah umrah warga Malaysia di bawah kendalian sebuah agensi kini terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang mereka yang dijadualkan pada awal pagi Sabtu dibatalkan.
Seorang jemaah Mohd Nasarudin Kassim, 57, ketika dihubungi Bernama memaklumkan mereka sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada 1 pagi waktu tempatan namun dimaklumkan mengenai pembatalan itu oleh pihak syarikat penerbangan pada 8 malam sebelumnya.
Beliau berkata, kumpulan jemaah itu kini ditempatkan sementara di sebuah hotel di Jeddah oleh pihak syarikat penerbangan sementara menunggu jadual penerbangan seterusnya.
Selain kumpulan dari agensi berkenaan, terdapat juga beberapa kumpulan jemaah dari agensi lain yang turut terkesan dan ditempatkan di hotel yang sama.
Mengenai jadual penerbangan gantian, Mohd Nasarudin berkata berdasarkan maklumat terkini, mereka dijadualkan berlepas pulang melalui penerbangan Malaysia Airlines MH159 pada 2 Mac, pada 9.30 malam namun lokasi pelepasan telah diubah dari Jeddah ke Madinah.
"Situasi di sini buat masa ini tenang dan terkawal. Pihak agensi dan syarikat penerbangan ada menyediakan penginapan hotel untuk kami sementara menunggu Isnin nanti,” katanya.
Terdahulu, Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dan Doha, Jeddah serta Madinah pada 28 Feb dan 1 Mac 2026, susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian di Timur Tengah.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah menerusi kenyataan di Facebook malam ini memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan keadaan terkini di rantau itu.
"Situasi di seluruh Arab Saudi pada ketika ini adalah selamat dan terkawal. Namun rakyat Malaysia di Arab Saudi dinasihatkan supaya peka dengan perkembangan semasa dan diminta kekal tenang.
"Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa mengenai situasi semasa dan sebarang perkembangan penting yang memerlukan tindakan lanjut akan dimaklumkan dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang menetap di Wilayah Barat Arab Saudi dan yang melaksanakan umrah dan ziarah dimohon memuat turun aplikasi MyWorldAlert bagi memantau situasi semasa dan memudahkan sebarang bantuan diberi sekiranya perlu.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, dengan Israel menyifatkannya sebagai "serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi "menghapuskan ancaman”.
Serangan itu berlaku selepas AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran. - Bernama
Ringkasan AI
- Kira-kira 55 jemaah umrah warga Malaysia terkandas di Jeddah akibat pembatalan penerbangan pulang
- Penerbangan mereka yang dijadualkan awal pagi Sabtu dibatalkan, makluman diberikan pada malam sebelumnya
- Jemaah tersebut kini ditempatkan sementara di sebuah hotel di Jeddah oleh syarikat penerbangan
- Kumpulan jemaah ini dijadwal berlepas kembali melalui penerbangan Malaysia Airlines MH159 pada 2 Mac dari Madinah
- Ketegangan di Timur Tengah menyebabkan penutupan ruang udara, mempengaruhi jadual penerbangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
