Industri bantah keputusan Terengganu haramkan penjualan vape

Penggiat industri vape menyatakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan negeri Terengganu untuk mengharamkan penjualan produk vape di negeri itu. Gambar hiasan
Penggiat industri vape menyatakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan negeri Terengganu untuk mengharamkan penjualan produk vape di negeri itu. Gambar hiasan
A
A
A

TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Penggiat industri vape menyatakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan negeri Terengganu untuk mengharamkan penjualan produk vape di negeri itu.

Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu, Muhd Kamaruzaman Mahmud berkata, langkah tersebut dianggap tidak efektif serta mampu memberi impak negatif kepada ekonomi tempatan dan sektor pekerjaan rakyat.

Katanya, terdapat lebih 169 kedai vape di seluruh Terengganu, melibatkan lebih 400 pekerja tempatan.

“Larangan penuh akan menyebabkan ramai hilang sumber pendapatan serta menjejaskan ekosistem perniagaan yang sah dan mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, produk vape kini tertakluk di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, iaitu akta yang sama digunakan untuk mengawal selia rokok.

Justeru katanya, pengharaman total terhadap penjualan vape adalah bercanggah dengan akta tersebut, yang bertujuan memperkenalkan kawal selia yang menyeluruh dan berkesan, bukan larangan mutlak.

“Larangan menjual vape bukanlah kaedah terbaik untuk mengelakkan penggunaan oleh golongan bawah umur termasuk wanita. Sebaliknya, pelaksanaan peraturan ketat seperti yang digariskan oleh kerajaan Persekutuan adalah lebih praktikal dan bertanggungjawab.

“Industri komited untuk mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, termasuk, had umur pembelian yang diperketatkan, penjualan di premis berlesen yang mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produk berdaftar dan berlabel dengan amaran kesihatan dan larangan iklan serta promosi yang menyasarkan remaja,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Kerajaan Negeri Terengganu yang sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan vape secara total di negeri itu berikutan kebimbangan terhadap kesan negatifnya terhadap kesihatan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengkaji langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penggunaan dan penjualan vape.

Sementara itu, Kamaruzaman menyarankan penubuhan jawatankuasa khas antara kerajaan negeri dan pemain industri bagi menilai semula pendekatan terbaik dalam menguruskan isu ini.

Katanya, industri percaya bahawa penyelesaian harus dirangka bersama, bukan melalui tindakan unilateral atau dipolitikkan.

“Perlu diingat bahawa undang-undang kawal selia vape telah diluluskan di Parlimen selepas perbincangan menyeluruh dan konsensus pelbagai pihak. Maka, sebarang tindakan kerajaan negeri wajar selaras dengan dasar kebangsaan agar tidak berlaku pertindihan atau kekeliruan,” ujarnya.

Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu merupakan cabang negeri kepada Pertubuhan Peniaga Vape Melayu (PPVM), yang berperanan mewakili dan memperjuangkan kepentingan peniaga vape Melayu di peringkat negeri Terengganu.

Dalam pada itu, Kamaruzaman menafikan data yang mengatakan 65 peratus vape mengandungi dadah dan kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Kami ingin membetulkan kekeliruan berkaitan dakwaan bahawa 65 peratus produk vape mengandungi dadah. Statistik tersebut merujuk kepada jumlah rampasan dalam operasi polis yang menyasarkan sindiket dadah, bukan daripada premis sah yang menjual produk vape berdaftar. Maka, ia tidak wajar dijadikan asas untuk menggubal dasar atau melaksanakan larangan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus sedar bahawa masalah utama yang timbul berkaitan produk vape sering kali berpunca daripada penyalahgunaan produk tidak sah, bukan produk yang telah didaftarkan dan dikawal selia oleh KKM.

Justeru, katanya, penyelesaian bukanlah melalui larangan, tetapi melalui pendidikan, penguatkuasaan dan kolaborasi.

“Industri menyeru agar kerajaan negeri mempertimbangkan semula cadangan ini secara menyeluruh demi manfaat rakyat, industri dan kesejahteraan kesihatan awam secara bersepadu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!