KKM sokong langkah negeri haramkan vape

Dr Dzulkefly (kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta yang memenangi cabutan bertuah selepas Majlis Perasmian Program Madani Afiat Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.
Dr Dzulkefly (kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta yang memenangi cabutan bertuah selepas Majlis Perasmian Program Madani Afiat Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik keputusan beberapa negeri yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mengawal selia semua produk tembakau dan rokok elektronik mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau memaklumkan bahawa usaha turut melibatkan kawalan terhadap penjualan dan pengiklanan untuk memastikan kesihatan awam terpelihara.

"Kawalan secara rapi dilakukan, termasuk pendaftaran, penjualan kepada bawah umur, pengiklanan, dan produk yang dipamerkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Madani Afiat Peringkat Negeri Kelantan 2025, pada Sabtu.

Jelas Dr Dzulkefly, kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh untuk mengharamkan rokok elektronik.

Menurut beliau, tiada lesen penjualan vape atau rokok elektronik telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor sejak tahun 2016. Terkini, Perlis dan Terengganu turut mengambil langkah serupa dengan memperkenalkan peraturan yang sama.

"Kelantan juga sudah lama tidak membenarkan penjualan bahan terlarang tersebut," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan bahawa Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis di seluruh negeri bermula 1 Ogos depan.

Keputusan itu dibuat ketika Mesyuarat Exco Negeri pada Rabu, sebagai sebahagian daripada usaha mencegah penjualan dan penggunaan produk vape yang memberi kesan buruk kepada kesihatan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!