Sistem pam banjir Taman Sri Muda kembali pulih

SHAH ALAM – Penduduk Taman Sri Muda di Seksyen 25 di sini boleh menarik nafas lega apabila sistem rumah pam kawalan banjir di kawasan itu disahkan kembali berfungsi sejak minggu lalu selepas masalah bekalan elektrik diselesaikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjelaskan pemulihan sistem itu memainkan peranan penting dalam mengelakkan berlakunya banjir walaupun hujan lebat turun selama dua jam pada Sabtu lalu.
“Alhamdulillah, kita sudah berjaya selesaikan masalah itu. Sebelum ini TNB tidak dapat menyalurkan tenaga atas isu tertentu, namun ia telah diselesaikan sekitar Rabu dan Khamis minggu lalu.
"Kita melihat hujan lebat baru-baru ini tidak menyebabkan banjir kerana pam sudah kembali berfungsi,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia bagi program SELKitar di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14, di sini pada Selasa.
Menurut Amirudin, sistem pam itu sebelum ini tidak dapat beroperasi kerana belum menerima sambungan bekalan elektrik sepenuhnya. Situasi tersebut telah menyumbang kepada kelewatan usaha mengawal air banjir di kawasan kritikal seperti Taman Sri Muda yang sering menjadi mangsa setiap kali hujan lebat.
Pada 11 April lalu, lebih 1,000 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda kawasan sekitar Petaling dan Klang, termasuk Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Meru, dengan lebih 200 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Susulan itu, lebih 1,500 penduduk berhimpun secara aman pada 20 April bagi mendesak penyelesaian tuntas terhadap isu banjir berulang yang menjejaskan kehidupan mereka sejak banjir besar tahun 2021.
Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, tumpuan kini turut diberikan kepada penyelenggaraan aset dan sistem saliran termasuk kunci air dan perparitan.
Beliau menegaskan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting bagi memastikan kelancaran sistem kawalan banjir.
“PBT tidak boleh culas. Mereka perlu sentiasa mengemas kini data dan memastikan longkang serta aset berkaitan diselenggara dengan baik. Di Selangor, walaupun kita hanya hadapi banjir kilat, kesannya tetap buruk jika tidak ditangani secara berkesan,” ujarnya.
Tambah beliau, mesyuarat koordinasi khas kerajaan negeri yang diadakan baru-baru ini turut membincangkan langkah susulan bagi memastikan isu banjir ditangani secara menyeluruh.
Antara inisiatif yang telah dimulakan termasuk penubuhan pasukan khas bagi menangani cabaran di kawasan yang sering terjejas.
“Saya faham penduduk mungkin masih trauma kerana kita pernah berdepan dengan pelbagai isu banjir sebelum ini.
"Tapi kerajaan negeri komited untuk memastikan penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

