KADA diminta segera baiki benteng di rumah pam - Exco

Sidang DUN Kelantan pada Rabu. Gambar kecil: Tuan Mohd Saripudin
Sidang DUN Kelantan pada Rabu. Gambar kecil: Tuan Mohd Saripudin
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melaksanakan segera kerja-kerja pembaikan benteng sementara ‘sheet pile’ berhampiran rumah pam milik agensi itu di Ketereh di sini.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, hal ini kerana kerajaan negeri telah memberikan kelulusan berkait kerja-kerja tanah di kawasan berkenaan.

"Ini merupakan langkah penyelesaian jangka pendek kepada masalah kemarau. Jika dilaksanakan ia membolehkan kerja-kerja tanaman padi untuk musim kedua dapat dijalankan.

"Ia sekali gus membolehkan paras air dapat ditinggikan dan disedut, kemudian dialirkan ke sawah-sawah," katanya selepas menjawab soalan tambahan Mohd Azmawi Fikri Ab Ghani (BN-Nenggiri) semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, tahun lalu kemarau yang melanda negeri ini disifatkan paling teruk dalam tempoh lebih 60 tahun.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan hasil padi merudum.

"Banyak kawasan padi tidak dapat diusahakan kerana tidak cukup air disebabkan kemarau," katanya.

Menurut Tuan Mohd Saripuddin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengadakan taklimat khas kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) kali ke-19/2024 yang bersidang pada 18 September 2024 mengenai ‘Cadangan Penyelesaian Isu Bekalan Air Pertanian untuk Penanaman Padi’.

Beliau berkata, dalam taklimat tersebut, KPKM memohon untuk membaiki tebatan Kemubu menggunakan struktur 'sheet pile' sebagai penyelesaian sementara untuk meningkatkan paras air di Rumah Pam Kemubu milik KADA.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sidang MMK bersetuju supaya pihak KPKM mengemukakan cadangan pelaksanaan projek ini secara jangka pendek dan panjang serta laporan pengesahan teknikal dari pakar berkaitan dan dibentangkan semula kepada Pihak Berkuasa Negeri pada masa akan datang.

"Pihak Berkuasa Negeri melalui sidang MMK Kali Ke 06/2025 yang telah bersidang pada 12 Mac lalu telah membuat keputusan bersetuju dengan Cadangan Kerja-kerja Segera Bagi Pengukuhan Benteng Sementara Sheetpile di Stesen Pam Kemubu.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sentiasa memastikan bahawa pam di skim bendang padi di bawah seliaannya, termasuk pam ‘backup’, sentiasa dalam keadaan baik dan beroperasi dengan sempurna.

"Dalam mengatasi masalah kekurangan sumber air jangka pendek, pihak JPS telah melaksanakan kerja-kerja pembinaan telaga tiub dan kerja-kerja lain berkaitan bagi keperluan tanaman padi di dalan kawasan skim pengairan KADA sebanyak 106 nos bagi membantu para petani mengatasi masalah air di bendang sawah pada musim penanaman padi," katanya ketika menjawab soalan daripada Abdul Rahman Yunus (Pas - Pasir Tumboh).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!