'Sampai bila kami harus hidup dalam ketakutan' - Penduduk Taman Seri Alam

SUNGAI BULOH – [DIKEMAS KINI] “Cukuplah! Sampai bila kami harus hidup dalam ketakutan?”
Demikian luahan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Sazalie Basran selepas kejadian limpahan air dan runtuhan tanah di tebing kolam milik pemaju awal pagi Rabu.
Beliau memaklumkan, hujan lebat yang melanda sekitar kawasan berkenaan sejak jam 4 pagi menyebabkan kolam tadahan yang sebelum ini pernah pecah pada 29 Disember 2024 kembali melimpah.
"Sekitar jam 5.15 pagi, air mula membanjiri kawasan kediaman di Taman Seri Alam, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang masih trauma dengan kejadian lalu.
“Proses pembaikan kolam yang tertangguh terlalu lama kini memakan diri. Kami sudah beri masa. Kami sudah bersabar. Kini keselamatan kami dipertaruhkan sekali lagi,” tegas Sazalie.

Runtuhan terbaharu itu turut memperlihatkan kelemahan struktur tebing kolam serta reka bentuk lokasi yang didakwa tidak sesuai dan berisiko tinggi terhadap penduduk di sekitarnya.
Mewakili penduduk Taman Seri Alam, ujarnya lagi, hujan lebat yang semakin kerap tidak lagi boleh dianggap luar biasa, sebaliknya perlu dijadikan faktor utama dalam menilai keselamatan infrastruktur seperti ini.
"Pihak persatuan kini menggesa agar kolam tersebut ditutup sepenuhnya jika tiada jaminan keselamatan kukuh dapat diberikan.
“Bukan sahaja pembaikan menyeluruh harus dilakukan, malah audit kejuruteraan bebas perlu dilaksanakan segera,” tambah beliau.
Insiden ini menambah lagi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan dan pemaju yang kini dipersoal tentang ketelusan dan kecekapan dalam menangani krisis yang berulang.
Taman Seri Alam terletak berhampiran Sungai Buloh, sudah beberapa kali menjadi tumpuan berita berikutan insiden banjir dan struktur kolam yang bermasalah.
Beliau sehubungan itu, menegaskan, penduduk kini menanti tindakan tegas dan bukan sekadar janji manis.
Sementara itu, seorang penduduk, Muhamad Akmal Abdul Ghani, 39, berkata setiap kali hujan lebat, kumpulan WhatsApp penduduk akan ‘hidup’ dengan perbualan cemas.
"Setiap kali hujan lebat, kami mula risau, takut kolam depan rumah pecah, malah tidur pun tak lena, asyik bangun tengok luar sebab bimbang air melimpah masuk.
"Memang setiap kali hujan, kami tanya sesama sendiri tentang keadaan kolam macam mana, benteng penahan tahan atau tidak.
"Jika keadaan macam ini berterusan tanpa penyelesaian kekal, keselamatan kami sentiasa terancam," katanya ketika ditemui pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai kejadian limpahan air akibat kolam takungan, Muhamad Akmal menjelaskan, kejadian kira-kira jam 6 pagi itu berlaku ketika dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh sebelum isterinya menyedari air mula memenuhi kawasan laman rumah.
“Walaupun pihak berkuasa dah buat kerja pembaikan cerucuk, mungkin masih ada bahagian lain yang belum sempurna menyebabkan air melimpah keluar," jelasnya.
Bagaimanapun, Muhamad Akmal yang menetap sejak 2011 bersama isteri dan lima anak berkata, air yang melimpah ke dalam rumah tidak seteruk kejadian tahun lalu, namun tetap mengalami kerugian harta benda sebanyak RM2,000," ujarnya.
“Ini kali kedua rumah saya dinaiki air, barang yang kena dulu pun masih belum habis ganti, sekarang air masuk rumah lagi,” katanya.
Ujarnya, kebimbangan penduduk bukan sahaja terhadap kerosakan harta benda tetapi juga keselamatan nyawa terutama anak-anak.
"Penghadang berhampiran kolam sangat rendah, kanak-kanak lima tahun pun boleh panjat termasuklah kaki pancing, jika pecah waktu itu, siapa nak bertanggungjawab?" soalnya.
Seorang lagi penduduk, Khairul Nizam Jamil, 42, berkata, penduduk bukan sahaja kecewa akibat tiada jalan penyelesaian menangani perkara itu, malah turut dihimpit perasaan trauma.
Menurutnya, meskipun insiden kali ketiga itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, namun ia tetap memberi kesan besar terhadap emosi dan keselamatan penduduk yang semakin hilang keyakinan terhadap pihak bertanggungjawab.
"Apa yang berlaku hari ini adalah bukti betapa penduduk sudah penat dan trauma, selain hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat.
"Tindakan yang diambil pihak berwajib pun terlalu perlahan dan mungkin sebab tak ada nyawa yang hilang, tapi jangan sampai ada terkorban baru tindakan serius diambil," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Zon 23, Maisarah Ismail berkata, pihaknya menuntut penyelesaian kekal daripada pihak berwajib.
Maisarah berkata, kejadian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas beliau selesai menyampaikan pampasan kepada mangsa kejadian terdahulu yang berlaku hujung Disember yang digambarkan seperti 'tsunami kecil'.
"Ketika ini, kita sudah mendesak supaya pembaikan dilakukan segera dan menyeluruh, tetapi pemaju hanya letakkan 'sheet pile' dan beri jaminan kononnya tiada lagi pecahan berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, Maisarah memberitahu, reka bentuk kolam yang dibentangkan oleh pemaju pada Februari lalu gagal mendapat kelulusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) disebabkan faktor struktur yang tidak menepati piawaian keselamatan.
"Hari ini (ketika kejadian), kebetulan pemaju hadir untuk buat pembentangan kali kedua kepada JPS, tapi malangnya sebelum sempat apa-apa dimuktamadkan, kolam pecah lagi.
"Saya difahamkan kolam takungan ini masih belum diserahkan kepada pihak JPS dan menjadi tanggungjawab penuh pemaju.
“Pihak MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) hanya akan keluarkan kelulusan selepas JPS beri ulasan lengkap berdasarkan reka bentuk yang selamat, tapi sekarang kita terpaksa ambil pendekatan kecemasan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!