Isu ceroboh tanah anak yatim, pihak kuil setuju pindah

PORT DICKSON - Isu pencerobohan tanah milik tiga pihak termasuk Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Daerah Port Dickson di Bukit Palong di sini yang berlarutan lebih 10 tahun telah diselesaikan secara baik.
Menerusi beberapa siri perbincangan yang diadakan, pihak pengurusan Kuil Sri Dewi Mariamman mengakui kesalahan mereka dan bersedia berpindah ke tempat lain.
Jurucakap Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Daerah Port Dickson, Syed Ariffin Abu Tahir berkata, pihaknya bersyukur kerana isu tersebut telah dapat diselesaikan secara baik tanpa timbul sebarang isu sensitif atau perselisihan faham.
Menurutnya, tanah berkenaan telah diberikan kerajaan negeri kepada pihak yayasan pada tahun 2007 dan didaftarkan pada 16 Julai tahun sama untuk tujuan pembinaan asrama anak-anak yatim.
"Tanah itu adalah berstatus pajakan negeri selama 99 tahun dan akan berakhir pada 15 Julai 2106.
"Sebagai usaha awal pembinaan, yayasan telah melantik sebuah syarikat untuk membuat ukuran tanah dan persempadanan semula.
"Ketika itulah kita mendapati, keseluruhan kuil ini telah dibina di atas tiga tanah milik pihak berasingan iaitu yayasan, Tenaga Nasional Berhad(TNB) dan Kementerian Dalam Negeri," katanya pada sidang akhbar bersama pihak pengurusan kuil di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Yang Dipertua Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Daerah Port Dickson, Miskimin@Mislimin Tukiman.
Jelasnya, selepas beberapa siri perbincangan yang diadakan dalam suasana harmoni, pihak kuil bersetuju untuk berpindah.
Tambah beliau, pihaknya juga telah mengeluarkan satu notis pengosongan tanah tersebut dalam tempoh dua bulan atau sebelum 9 Jun ini.
"Tempoh masa ini dipersetujui bersama dan kata sepakat diambil untuk memberi ruang kepada pihak kuil mencari tapak lain serta memulakan urusan pemindahan.
"Satu laporan polis juga telah dibuat melalui pengerusi yayasan pada 10 April lepas. Jadi kita berterima kasih kepada pengurusan kuil kerana dapat menerima keadaan dan bersetuju untuk berpindah," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kuil, M Kannan berkata, dia difahamkan kuil tersebut telah berada di situ sejak tahun 1924 yang mana ketika itu tanah berkenaan merupakan Ladang Bukit Palong.
Bagaimanapun, beliau mengakui tiada dokumen kukuh yang disimpan bagi mengesahkan perkara terbabit.
"Jadi kita telah buat permohonan tanah lain kepada kerajaan negeri bagi membolehkan kuil berpindah ke tempat lain dan masih menunggu maklum balas.
"Kita pun tak mahu timbulkan isu perkauman dan mahu ia diselesaikan secara baik kerana kita juga sedar ini adalah tanah yayasan, TNB dan KDN," katanya.
Malah jelas beliau, sepanjang 25 tahun sebagai setiausaha, pihaknya telah membuat banyak kali permohonan mendapatkan tanah lain yang bersesuaian dan kali pertama pada tahun 2000.
"Memandangkan kami telah diberi tempoh untuk berpindah, kami telah ambil langkah memohon tanah lain yang bersesuaian dan berdekatan dengan kuil ini kepada kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!