Ceroboh tanah: Individu kecewa layanan dua darjat

SHAH ALAM - Seorang individu meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa berlaku layanan tidak adil terhadap kes membabitkan dirinya berbanding beberapa kes pencerobohan tanah lain yang pernah tular sebelum ini.
Pakar urus tanah dan jurulatih penjenamaan diri, Muhammad Khairul Jamain berkata, beliau terpanggil untuk berkongsi masalah yang dihadapinya selepas melihat layanan berbeza dalam kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang dan Dengkil, Selangor.
“Saya berasa sangat kecewa sebab layanan yang diberi sungguh berbeza dengan kes saya dan sahabat saya seorang pemilik jentera berat (excavator) yang hanya ingin membuat jalan ke tanah saya.
“Kami tidak mencuri hasil tanah selama 30 tahun, tidak memanggil wakil rakyat untuk mempertahankan kesalahan kami malah tak buat bela lembu atau buat rumah sewa untuk dapatkan duit sekali pun.
“Hasrat saya cuma satu, ingat nak buat jalan ke tanah saya beli dengan bantuan rakan saya itu. Tanah terletak tepi sungai dan untuk sampai ke tanah itu, saya perlu buat jalan masuk sejauh lebih kurang 150 meter (m), melalui kawasan rizab sungai,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, isu pencerobohan tanah sebelum ini menjadi perhatian selepas beberapa pekebun durian di Raub didakwa mengusahakan tanah kerajaan secara haram selama lebih 30 tahun.
Di Dengkil pula, beberapa kawasan rizab kerajaan dilaporkan digunakan tanpa kelulusan untuk tujuan perniagaan, penternakan dan terbaharu melibatkan pembinaan kuil peribadi di atas tanah yang diwartakan milik Masjid Baru Dengkil.
Dalam pada itu, Muhammad Khairul yang dikenali sebagai Khairul Jamain berkata, bagaimanapun, kerja membuat jalan tersebut dihentikan selepas seorang wanita mendakwa mereka menceroboh tanah miliknya walaupun sempadan tidak dicerobohi.
“Kami tak main redah, siap jumpa ketua kampung, beliau sambut baik dan kata ‘asalkan tak ceroboh tanah orang lain’. Mungkin silap kami di sini tak membuat surat rasmi ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), saya akui kesilapan saya tapi untuk kesalahan pertama di mana budi bicara?
“Saya sewa excavator berbangsa Melayu, hari pertama dan kedua tiada masalah. Hari ketiga datang seorang wanita Cina, mengaku pemilik tanah bersebelahan rizab sungai itu, marah-marah dan mendakwa kami ceroboh tanah dia.
“Pemilik yang kendalikan excavator tenang sahaja, dia tunjukkan sempadan, kami tak masuk tanah sesiapa, tetapi wanita itu tetap tak puas hati. Dia terus buat laporan polis dan ke pejabat tanah, sekitar 5 petang beberapa pegawai tanah datang bersama anggota polis dan berhentikan kerja excavator lalu menyita excavator tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, tanpa sebarang waran, pihak polis dan pejabat tanah arahkan kerja tersebut dihentikan.
“Tapi perkara jadi makin tak masuk akal, tanpa notis mahkamah dan budi bicara datang terus mahu menyita, kami minta untuk excavator dilepaskan dan saya akan datang ke Pejabat Tanah tapi tidak diendahkan dengan alasan ‘kami hanya menjalankan tugas dari arahan pihak atas’.
“Saya tanya melalui perbualan telefon, ‘mana surat mahkamah? Mana waran sita?’, mereka jawab, ‘ini arahan pihak atasan’.
“Saya terkedu, semudah itu kuasa digunakan tanpa budi bicara? Saya minta excavator itu dilepaskan kerana pemiliknya tak bersalah, pemiliknya menangis sebab itu satu-satunya mesin yang dia ada untuk cari rezeki,” kata Khairul Jamain.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pantas yang diambil berbanding kes lain yang bertahun-tahun berlarutan tanpa sebarang tindakan.
Susulan itu, Khairul Jamain menambah, mereka kini berdepan pertuduhan bawah Seksyen 425 dan 426(5) Kanun Tanah Negara, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun.
Menurutnya, permohonan rasmi kepada JPS dan pejabat tanah juga masih belum dijawab walaupun sudah beberapa bulan dihantar.
Beliau berkata, penulisan itu dibuat bagi mendapatkan sokongan moral dan bantuan bagi pemilik excavator yang kehilangan punca pendapatan.
“Adakah kami mencuri dan membunuh seseorang? Saya dan peguam cuma membela nasib pemilik excavator. Saya betul-betul tak faham, begitu kontra sungguh dengan apa yang berlaku di Dengkil dan Raub, adakah disebabkan pilih kasih?
“Kami bukan penjenayah! Kami tak buat rumah sewa, tak jual hasil hutan, tak gali lombong. Malah saya keluar duit sendiri untuk buat jalan itu. Lebih menyedihkan, sehingga sekarang, permohonan rasmi yang saya hantar kepada JPS dan pejabat tanah belum dijawab.
“Saya tak mahu bangkitkan soal kaum, tetapi saya pelik, bagaimana seseorang bukan Melayu boleh memiliki tanah dalam kawasan rizab Melayu? Saya mohon sokongan semua, tolong doakan kes dan pemilik excavator,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!