'Bapa bagi motosikal suruh tarawih, remaja berkumpul buat bising depan rumah orang’

MELAKA - Bapa bagi guna motosikal suruh pergi ke masjid untuk solat tarawih tapi sekumpulan remaja bertindak ‘nakal’ apabila berkumpul dan membuat bising di depan rumah orang hingga menimbulkan kacau ganggu penduduk di Jalan Tebing Tinggi, Duyong di sini.
Seorang penduduk, Muhammad Noor Izami Ishak, 37 berkata, kawasan luar rumahnya menjadi tempat kumpulan itu melepak dengan anggaran 30 motosikal berkumpul dari jam 8.15 malam sehingga 11.30 malam sewaktu video dirakam pada malam Khamis lalu yang dikongsikan menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurutnya, keluarganya terganggu dengan aktiviti ‘mat motor’ itu yang tidak mengendahkan ketidakselesaan penduduk walaupun beberapa teguran telah dibuat sebelum ini.

“Kalau hari biasa waktu petang ada juga beberapa motosikal datang, mungkin tiga atau empat orang sahaja akan berlumba di kawasan ladang kelapa sawit itu, tapi tak lama sekitar setengah jam saja sebelum beredar.
“Bagaimanapun, apabila masuk Ramadan, keadaannya lebih ekstrem. Waktu tarawih memang ramai. Mereka berpakaian baju Melayu dan ada yang berkain pelikat, tetapi bukan ke masjid, sebaliknya berkumpul di depan rumah saya,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Izami berkata, rumahnya yang terletak di lot hujung paling terkesan kerana berada betul-betul di lokasi mereka berhimpun dan membuat bising dengan ‘rem’ motosikal.
Katanya, walaupun tidak menghalang remaja berkenaan untuk berkumpul, beliau berharap mereka tidak membuat bising pada waktu malam yang merupakan waktu rehat penduduk.
“Ada beberapa kali saya buka pintu pagar dan beri teguran. Ada yang lari, dan mana yang tidak sempat lari saya akan berikan teguran tersebut.
“Saya juga dapati ada dalam kalangan mereka yang benar-benar nakal. Ada motosikal yang telah dicabut nombor pendaftaran dan ada yang memakai topeng muka seperti sengaja membuat provokasi terhadap saya kerana yakin identiti mereka tidak boleh dikenal pasti dengan menutup muka serta tiada nombor pendaftaran motosikal,” ujarnya.
Ahli perniagaan itu berkata, satu laporan polis pernah dibuat tahun lalu berhubung kacau ganggu berkenaan dan pernah berhasrat berjumpa wakil rakyat untuk mencadangkan agar bonggol dipasang bagi mengelakkan aktiviti lumba haram.
“Bagaimanapun, kebanyakan mereka bukan berlumba tetapi sekadar berkumpul dan membuat bising seperti di Dataran Merdeka.
“Saya harap melalui penularan video di media sosial, isu ini mendapat perhatian serius dan penyelesaian segera. Kawasan ini tidak lagi sesuai sebagai tempat lepak mereka kerana sudah terdapat beberapa rumah penduduk di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata setakat ini dimaklumkan tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian terbaharu itu dan pihaknya akan menjalankan rondaan berkala susulan penularan kejadian tersebut.
Ringkasan AI
- Bapa suruh pergi ke masjid, remaja buat bising depan rumah orang di Melaka
- Remaja berkumpul, buat bising dengan motosikal dari jam 8.15 malam hingga 11.30 malam
- Keluarga Muhammad Noor Izami terganggu, teguran dibuat tapi tidak diendahkan
- Rumah Izami di lot hujung paling terkesan, remaja buat bising dengan 'rem' motosikal
- Laporan polis pernah dibuat, harap penularan video sosial bantu selesaikan masalah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

