Rumah ibadat: Tak boleh suka hati bina, kita ada peraturan, kata Aminuddin

Aminuddin dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
Aminuddin dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan pembinaan rumah ibadat di negeri ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemilik atau pengusaha rumah ibadat perlu menyemak status tanah terlebih dahulu sebelum mendirikan sebarang struktur binaan, bagi mengelakkan pertikaian atau tindakan undang-undang pada masa akan datang.

"Tak bolehlah kita suka hati bina. Kita ada peraturan dan janganlah melanggarnya.

"Saya juga minta apabila mereka buat tambahan bangunan, supaya menyiasat dahulu tanah-tanah tersebut. Kita tak nak apabila mereka dah buat baru kata 'Oh, ini tanah orang', tak bolehlah macam itu. Kita ada peraturan, kita ada undang-undang," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Beliau mengulas isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam yang dibina di tempat tidak sepatutnya.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa mendapat perkembangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan isu rumah ibadat dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran.

"Kita sedia maklum ada beberapa rumah ibadat bukan Islam berada di tanah-tanah tertentu seperti di tanah Tenaga Nasional Berhad di Kuala Pilah, begitu juga di tanah Kementerian Dalam Negeri dan tanah anak-anak yatim di Lukut yang sedang dalam penyelesaian.

"Kerajaan negeri juga mendapat permohonan membina kuil, gurdwara dan tokong daripada pemaju di kawasan yang tidak ramai orang Melayu dan kita akan mendapatkan pandangan daripada MKN sama ada ia sesuai atau tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, sekiranya ada isu sensitiviti melibatkan pembinaan rumah ibadat, ia akan dibincangkan dan akan diselesaikan secara baik.

Namun beliau berpendapat, isu timbul apabila ada pihak tertentu yang sengaja mengapi-apikannya sehingga menimbulkan masalah.

"Kita tak nampak ada isu yang besar di negeri ini dan saya rasa benda itu boleh dibincangkan dengan baik.

"Contoh paling hampir pada kita dan telah diluluskan hari ini ialah perobohan tokong di Jalan Kuala Pilah-Johol kerana menceroboh tanah sungai. Saya telah minta Exco berkaitan berbincang dengan pihak tokong supaya perkara itu dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya.

Aminuddin turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati sensitiviti antara kaum, memandangkan negara ini mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa.

"Kita hidup dalam serumpun dan rumah besar, harus menghormati sensitiviti sesama kita.

"Tak boleh dalam keadaan terlalu dekat ada dua atau tiga kuil dan saya rasa perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak tertentu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!