Negeri Sembilan kedua tertinggi notis buang sampah kecil

Arul Kumar beramah mesra dengan anak-anak yatim dalam Majlis SWM Kasih Santun Ramadan dan Iftar di Seremban pada Rabu.
Arul Kumar beramah mesra dengan anak-anak yatim dalam Majlis SWM Kasih Santun Ramadan dan Iftar di Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 190 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) membabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dan jalan awam dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Februari lalu.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, jumlah tersebut meletakkan Negeri Sembilan di kedudukan kedua tertinggi daripada tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Daripada jumlah notis dikeluarkan, dua kes telah selesai dibicarakan di mahkamah dengan pesalah dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat.

"Ini setakat yang kita ambil tindakan saja, tapi saya percaya masih ramai lagi yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan," katanya ditemui dalam Majlis SWM Kasih Santun Ramadan dan Iftar di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai berkata, kebanyakan individu yang diberikan notis ialah perokok yang membuang puntung rokok.

Ujarnya, alasan tidak tahu berkenaan dengan peraturan terbabit yang mula dikuatkuasakan Januari lalu tidak boleh diterima kerana makluman mengenainya telah diuar-uarkan.

"Secara logiknya, buang sampah itu memang satu kesalahan dan sepatutnya tidak perlukan kempen kesedaran pun.

"Saya rasa papan tanda peringatan kepada masyarakat tentang perkara ini juga banyak telah dipasang, jadi sepatutnya tiada alasan tidak tahu," katanya.

Tambahnya, penyediaan tong sampah akan lebih diperbanyakkan di kawasan awam dan pemilik premis swasta turut disaran menyediakan kemudahan tersebut di tempat mereka.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai jadual kutipan sisa pepejal sempena Aidilfitri nanti, beliau berkata, terdapat sedikit perubahan yang membabitkan daerah Seremban sahaja.

"Semua daerah lain tidak terbabit kecuali Seremban iaitu hari yang pertama akan dianjak ke hari kedua.

"Jadi, tiada perubahan besar dan kita harap pelaksanaannya berjalan lancar pada sambutan Syawal nanti," katanya.

Ringkasan AI

  • Seramai 190 Notis Pemberitahuan Kesalahan dikeluarkan di Negeri Sembilan untuk kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam
  • Negeri Sembilan berada di kedudukan kedua tertinggi dalam penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007
  • Dua kes telah dibicarakan di mahkamah dengan pesalah dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat
  • Kebanyakan individu yang diberikan notis adalah perokok yang membuang puntung rokok
  • Penyediaan tong sampah akan diperbanyakkan di kawasan awam dan pemilik premis swasta disaran menyediakan kemudahan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!