Sultan Nazrin zahir dukacita pemergian Tun Abdullah, kibar bendera separuh tiang

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi.
Dalam titah sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Kelima Belas pada Selasa, baginda turut menitahkan bendera negeri Perak dikibarkan separa tiang hari ini sebagai tanda rasa sedih dan dukacita rakyat negeri ini.
"Beta bersama Raja Permaisuri, Dewan ini dan seluruh rakyat beta di negeri Perak menzahirkan rasa dukacita atas kembalinya ke rahmatullah Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jean Abdullah dan keluarga Allahyarham.
"Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dilimpahi rahmat İhsan İlahi ditempatkan dalam kalangan roh para solihin," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.
Baginda menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negeri Perak.
"Pemergian Ishsam ketika baharu berusia 58 tahun merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Perak, Dewan ini, dunia bola sepak, rakyat di Ayer Kuning.
“Beta bersama Raja Permaisuri dan ahli-ahli Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada Puan Rozlita Abdullah dan ahli-ahli keluarga Allahyarham semoga mereka diberikan ketabahan, redha menerima penentuan Ilahi,” titah baginda.
Allahyarham Ishsam memenangi kerusi DUN tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.
Selain aktif dalam dunia politik dan pertubuhan sukarela, Allahyarham juga dikenali sebagai bekas pemain bola sepak Perak selama 12 tahun (1984-1990, 1992-1997), selain mewakili Negeri Sembilan pada 1991 dan skuad Harimau Malaysia dalam Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok pada 1987.
Sebagai penghormatan terakhir, Sultan Nazrin turut menyeru hadirin bertafakur dan membacakan surah al-Fatihah agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Terdahulu keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Istiadat dimulakan dengan berkumandangnya lagu kebesaran Negeri Perak dan pengibaran Bendera Peribadi Sultan sebelum Sultan Nazrin berkenaan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 166 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen diketuai Mejar Mohd Nurul Hasan.
Pancaragam Pengiring pula terdiri daripada Pancaragam KD Pelandok, Pengkalan TLDM Lumut di bawah pimpinan Leftenan Dya Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed.
_____________________________________________________________________________________________Sultan Nazrin dukacita isu kaum, agama terus dipolemik
IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita apabila isu berkaitan kaum dan agama terus dijadikan polemik sehingga menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Baginda bertitah, walaupun isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliaman di ibu negara telah diselesaikan secara rundingan selepas lebih sedekad berlarutan, masih wujud pihak yang sengaja menjadikannya bahan sensasi serta memperdebatkannya hingga membangkitkan emosi rakyat.

"Ada kalanya perkara kecil dan setempat berkaitan agama dan kaum, dipilih untuk dieksploitasi sehingga berpotensi mencetuskan letupan besar.
"Perkara mengenai agama dan kaum, semakin disensasikan, semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama, meskipun berpotensi mencetuskan kemarahan dan rasa permusuhan sesama warga," titah baginda.
Baginda bertitah sempena Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Persidangan Dewan Negeri Perak Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa semua agama menekankan nilai belas kasihan dan keadilan.
"Islam menganjurkan ummah untuk melakukan yang baik dan indah. Agama Kristian menekankan elemen rahmat, sementara agama Hindu dan ajaran Buddha menekan elemen ‘dharma’ yang mengutamakan kebenaran; seruan untuk bertindak secara adil berpaksikan belas kasihan.
"Ternyata kesemua agama memiliki pedoman yang seiring, iaitu jangan lakukan kepada pihak lain perkara yang kita tidak mahu orang lain lakukan kepada kita," jelas baginda.
Justeru baginda mengingatkan rakyat agar saling menghargai dan mengamalkan nilai perpaduan kerana kestabilan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi memerlukan kerjasama seluruh rakyat.
Baginda dalam pada itu turut memuji sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin dua buah institusi agama iaitu Masjid Al-Falah Subang Jaya dan pemimpin Kuil Sri Maha Kaliamman Jalan Putra Harmoni semasa peristiwa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
"Pemimpin dua buah rumah ibadat tersebut membuka pintu rumah ibadat masing-masing kepada mangsa dan petugas, tanpa mengira identiti kaum atau agama untuk dijadikan tempat perlindungan, malah dibenarkan umat Islam menunaikan solat dalam premis kuil.
"Sifat terpuji pemimpin kedua-dua rumah ibadat ini, memberikan harapan dan mengubati kebimbangan kita terhadap hubungan kaum di negara ini. Hakikatnya, rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik memecah belah, boleh hidup secara aman, secara harmoni," tegas baginda.
Sementara itu, baginda turut menzahirkan perasaan dukacita terhadap politik kebencian yang semakin menular ketika ini kerana dibimbangi menyebabkan rakyat tidak lagi bersatu dan memusuhi antara satu sama lain.
Menurut Sultan Nazrin, mereka lebih gemar menghina serta menjatuhkan maruah lawan berbanding mengangkat nilai ihsan dan belas kasihan.
"Negara ini semakin disemai benih-benih kebencian secara keterlaluan hingga terhakisnya kompas moral dan gugurnya empati apabila berurusan dengan pihak yang tidak sekata.
"Kelihatan semakin subur budaya fitnah, semakin sarat budaya yang merestui perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah lawan politik dan semakin luntur nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan. Kebenaran bagaikan tiada lagi mempunyai nilai dan harga," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

