'Saya ke kuil santuni masyarakat hindu, bukan sertai ritual agama' - ADUN Semenyih

KAJANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz menegaskan bahawa kunjungan beliau ke kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam di sini baru-baru ini bukan untuk menyertai ritual keagamaan.
Sebaliknya beliau berkata, lawatan itu bertujuan menyantuni masyarakat beragama Hindu yang juga sebahagian daripada warga Semenyih.
Menurutnya, selendang kuning cair (ponnadai) dan kalungan bunga yang dipakaikan merupakan simbol sambutan serta persahabatan dalam budaya masyarakat India, khususnya komuniti Tamil.
“Ini bukan sebahagian daripada sebarang ritual dan saya langsung tidak terlibat dalam apa-apa bentuk ibadah atau simbol keagamaan.
“Contohnya seperti postur menyembah (namaskaram), pemakaian tanda di dahi, menuang susu ke dalam periuk tanah atau penyertaan dalam upacara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial yang memaparkan Nushi berkunjung ke salah sebuah kuil dengan memakai kalung bunga dan ponnadai.
Tindakan itu telah mendapat kecaman beberapa pihak yang mendakwa Nushi terlibat dengan upacara keagamaan selain meminta pemimpin politik Islam berhenti menjadikan kebiasaan menghadiri ritual terbabit.
Mengulas lanjut, Nushi berkata, sebahagian besar masa lawatan berkenaan hanya dihabiskan untuk berdialog dan mendengar harapan mereka serta perancangan pihak kuil untuk komuniti setempat.
“Ia ruang yang amat penting untuk membina kefahaman dua hala, jauh daripada prejudis atau tanggapan luar.
“Saya percaya, masyarakat majmuk seperti kita hanya akan kuat bila ada ruang untuk saling mengenal, faham dan menghormati.
“Apabila wakil rakyat dekat dengan rakyat tanpa mengira kaum atau agama, ini bibit kepada negara yang benar-benar bersatu.
"Semoga langkah kecil ini menyumbang kepada Semenyih yang harmoni dan saling percaya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!