Masyarakat India anggap Abdullah lambang keharmonian Malaysia - Papparaidu

PAPPARAIDU
PAPPARAIDU
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja satu kehilangan besar kepada negara, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat India.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, V Papparaidu berkata, semasa pentadbiran Allahyarham, nasib kaum India sentiasa terbela dan banyak menerima limpahan dasar inklusif.

"Masyarakat kami banyak menerima manfaat secara langsung daripada dasar dan pendekatan beliau yang berteraskan perpaduan, keterangkuman dan keadilan sosial.

"Jasa Tun Abdullah kepada masyarakat India bukan sahaja bersifat dasar, tetapi berakar daripada keprihatinan tulen terhadap keperluan pendidikan, ekonomi, budaya dan keterangkuman komuniti dalam arus pembangunan nasional," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Papparaidu, antara sumbangan Allahyarham Abdullah termasuk memberi perhatian serius terhadap keperluan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), memperuntukkan dana bagi pembinaan serta penambahbaikan infrastruktur sekolah termasuk bilik darjah, makmal dan perpustakaan.

Dalam kenyataan sama, Papparaidu turut memuji pendekatan terbuka Abdullah dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dan komuniti India melalui dialog langsung bersama pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh tempatan.

"Beliau mencipta ruang dialog yang telus dan membolehkan suara masyarakat India didengari secara langsung oleh kerajaan dan dirangkum dalam dasar negara.

"Ini merupakan langkah penting agar komuniti India tidak terus dipinggirkan dalam hala tuju pembangunan nasional,” ujarnya.

Dari sudut pembangunan ekonomi pula, beliau memberitahu, Abdullah telah memperluas akses kepada peluang keusahawanan kepada masyarakat India menerusi agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Artikel Berkaitan:

"Pembukaan pembiayaan mikro untuk usahawan kecil di kawasan bandar dan luar bandar telah memulakan transformasi keusahawanan dalam kalangan komuniti tersebut," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, Allahyarham juga turut memperkukuh peranan NGO dan koperasi India melalui bantuan kewangan dan pelaksanaan program pemberdayaan wanita serta latihan kemahiran.

“Beliau juga menitikberatkan soal latihan kemahiran teknikal dengan penglibatan institusi seperti GiatMARA dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) agar anak muda India tidak terus tercicir daripada arus pekerjaan formal dan berkemahiran,” kata Papparaidu.

Tambah beliau, Tun Abdullah dianggap sebagai individu yang menjunjung prinsip perpaduan turut memberi kesan besar terhadap kedudukan budaya India dalam landskap kebangsaan.

"Sokongan beliau terhadap sambutan perayaan utama seperti Deepavali dan Thaipusam diangkat ke peringkat nasional, manakala penyelenggaraan kuil dan pusat kebudayaan India diberi peruntukan khas sebagai simbol pengiktirafan kepada kepelbagaian agama dan budaya di negara ini.

"Beliau sentiasa hadir meraikan perayaan kaum India, malah memastikan cuti umum Deepavali dikekalkan di peringkat nasional.

"Ini satu manifestasi sebenar kepada kepercayaan beliau bahawa Malaysia ialah negara untuk semua kaum,” katanya lagi.

Papparaidu menambah, gaya kepimpinan Abdullah yang tenang, inklusif dan tidak konfrontasional berjaya mewujudkan ruang komunikasi serta kerjasama antara kaum lebih stabil dan harmoni.

"Sumbangan beliau kepada masyarakat India di Malaysia akan terus terpahat dalam sejarah sebagai bukti kepimpinan yang prihatin, inklusif dan berpandangan jauh.

"Nama Tun Abdullah akan terus dikenang sebagai negarawan yang menjadikan keadilan sosial dan keharmonian kaum sebagai asas pembangunan negara," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!