Buli di asrama: Sampai bila nak buat-buat tak nampak?

DULU-dulu kalau masuk sekolah berasrama penuh, rasa bangga tak terkata. Tempat ramai budak pandai, elit dan penuh disiplin.
Tapi sekarang ini, makin banyak cerita keluar tapi bukan pasal keputusan cemerlang, tapi kes buli yang makin menjadi-jadi.
Baru-baru ini ada kes di MRSM Seberang Perai yang buat netizen panas hati. Polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM itu pada pertengahan tahun lepas.
Beberapa pihak mengesyorkan tujuh pelajar terlibat ditamat pengajian. Ramai berharap tindakan tegas dikenakan.
Kejadian sebelum itu, polis terima tujuh laporan daripada pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Teluk Intan yang didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior dalam kejadian pada malam, 8 Mac lalu.
Pada Januari pula, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat kes buli beberapa pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara.
Merak Jalanan perhatikan buli di asrama sudah jadi budaya tak sihat yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Ia harus ditamatkan dan dihentikan kerana kesannya amat memudaratkan.
Statistik pun menakutkan. Menurut KPM sebanyak 6,208 kes buli direkodkan di sekolah setakat Oktober 2024 dan seramai 4,787 pelajar dikenal pasti terlibat. Itu kes yang dilapor, belum dikira yang tak dilaporkan. Entah berapa ribu lagi.
Merak Jalanan tak mahu salahkan cikgu semata-mata. Tapi sistem ni kena dikaji dengan teliti dengan lebih mendalam. Kalau asrama penuh sangat gah, sewajarnya aspek keselamatannya juga perlu setanding.
Anak-anak yang dihantar ke asrama majoritinya mahu menjadi lebih baik daripada tinggal di rumah bukan jadi mangsa buli.
Jom kita serius sikit, jangan tunggu ada yang jadi arwah baru nak bising satu negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!