'Pembuli perlu dibimbing, bukan hanya dihukum' - Yadim

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mewujudkan modul pemulihan kerohanian pelajar untuk pelaku buli di sekolah bagi membentuk kesedaran dan rasa taubat dalam diri.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, insiden buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang baru-baru ini perlu dijadikan sebagai cerminan kepada semua pihak bahawa pendekatan dakwah perlu lebih menyerap ke dalam sistem pendidikan negara.
"Pembuli bukan hanya perlu dihukum tetapi juga dibimbing. Dalam kes ini, Yadim menggesa agar pelaku buli juga mendapat sesi pemulihan rohani, seperti modul tarbiah khas untuk pembuli dan pemukiman jiwa seperti solat tahajud, tazkirah refleksi serta ziarah ke rumah anak yatim dan mangsa buli.
"Program berkenaan bertujuan menyembuhkan jiwa dan bukan hanya menghukum mereka, ia memanusiakan pembuli tanpa membuatkan mereka melupakan kesalahan yang telah dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, polis mengesan satu klip video berdurasi 1 minit 31 saat tular dan telah meraih lebih puluhan ribu tontonan, komen serta perkongsian sehingga Khamis.
Klip tersebut menunjukkan beberapa individu dipercayai pelajar, melakukan perbuatan seperti membuli ke atas seorang individu lain yang berada di atas katil.
Ujar Hasanuddin, pihaknya sedia bekerjasama dengan sebarang institusi bagi menjayakan misi melestari gerakan dakwah untuk mengatasi masalah buli di negara ini.
Menurutnya, pada ketika ini, inisiatif dakwah berkenaan telah bermula di peringkat sekolah menerusi Rakan Remaja Yadim.
"Ia sebelum bergerak lebih lanjut di institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi Rakan Belia Yadim dan Rakan Siswa Yadim.
"Ejen-ejen dakwah Yadim ini melaksanakan pelbagai inisiatif dakwah lapangan yang menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti menerusi pelbagai pendekatan.
"Yadim kekal komited untuk menjadikan pendidikan sebagai medan dakwah yang menyeluruh. Semoga usaha dakwah melalui pendidikan terus subur, bagi membina generasi berjiwa Madani, luhur pekerti, seimbang dunia dan akhirat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!