Misi jadi 'best student' Khairul Aming

HAMPIR seminggu kita berada di bulan Ramadan dan seperti biasa, lokasi yang menjadi tumpuan setiap petang adalah bazar Ramadan.
Seawal jam 3 petang, bahang kemeriahan Ramadan mula terasa apabila ratusan bazar di seluruh negara mula beroperasi, menjadi tumpuan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
Pada bulan inilah, pelbagai menu hasil kreativiti peniaga tempatan dihidangkan, ada yang turut menyelitkan kepelbagaian budaya Malaysia melalui seleksi makanan tradisional dan moden yang kreatif sehingga pengunjung sanggup beratur panjang demi mendapatkan juadah kegemaran mereka.
Tumpuan juga terarah kepada bazar Ramadan terpanjang di Tasik Puteri Selangor yang memulakan operasinya tahun ini.
Terletak di lokasi baharu, ia menjadi tumpuan kerana jaraknya yang panjang, kira-kira 1.4 kilometer dengan 500 gerai yang tersedia menanti pengunjung.
Seingat Merak Jalanan, bazar paling panjang yang pernah singgah adalah di Kedah. Memang meriah. Untuk tahun ni tular bazar berkenaan sesak sehingga nak berjalan pun payah. Kalau begitu keadaannya, penyakit berjangkit pun boleh dapat.
Berkenaan harga makanan di bazar pula, rata-rata pembeli mengeluh katanya ada kenaikan dalam 50 sen hingga RM2. Boleh tahan juga naik harga, sikit lagi boleh pergi haji balik hari.
Setakat 5 Ramadan ini, Merak Jalanan belum lagi sempat singgah bazar. Lagipun memang azam tahun ini tak nak jejak bazar sebabnya nak jimat dengan masak sendiri juadah berbuka.
Dengan 30 hari 30 resipi Khairul Aming (KA), rasanya cukup untuk Merak Jalanan masak sampai jadi dan rangkul 'best student' KA tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
