Bulan puasa juga perlu tahan 'lapar perhatian'

MENJELANG waktu berbuka, kalau kita skrol skrin telefon pintar, ada pelbagai aktiviti warga maya dipaparkan secara live di TikTok. Ada berkongsi resipi juadah saat akhir, ada menayangkan suasana meriah di bazar Ramadan, malah tidak kurang juga yang bertadarus.
Pendek kata, media sosial menjadi medan berkongsi semangat berpuasa dalam kalangan masyarakat. Namun dalam banyak-banyak perkongsian itu, ada satu gelagat yang benar-benar mencuri tumpuan Merak Jalanan.
Bayangkan ketika umat Islam lain sedang sabar menahan lapar dan dahaga sementara menunggu azan Maghrib, muncul pula aksi seorang wanita yang selamba bersiaran langsung sambil makan dan minum.
Jam baru menunjukkan 6.45 petang! Merak Jalanan hanya mampu menggeleng kepala. Sebenarnya bukan soal dia berpuasa atau tidak, itu urusan peribadi antara dirinya dengan Sang Pencipta.
Kalaupun ada ‘cuti ABC’ atau alasan kesihatan yang munasabah, tidak perlulah ia dipertontonkan secara terbuka kepada ratusan pengikut di media sosial. Di mana hilangnya rasa segan? Di mana pula letaknya sensitiviti terhadap kesucian bulan Ramadan yang mulia ini?
Nampaknya, dalam zaman serba digital, penyakit kemaruk perhatian semakin parah. Bagi sesetengah individu, asalkan tontonan tinggi dan nama disebut orang, maruah serta sensitiviti agama seolah-olah boleh diketepikan.
Apa pun, wanita berkenaan sudah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
Kejadian ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua agar lebih berpada-pada mengejar kandungan media sosial. Biarlah berapa pun like atau gift yang dikejar, jangan sampai maruah diri jatuh menjunam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
