Jangan takut dilabel 'jimbam', 'mat report', segera lapor kes buli - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - “Jangan takut dilabel ‘jimbam atau mat report dan jangan sesekali membiarkan diri atau rakan dibuli dalam apa jua bentuk.”
Demikian gesaan tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap budaya buli yang berlaku dalam kalangan pelajar khususnya di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menurut beliau, selama dua tahun menerajui Mara, ruangan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan X dijadikan sebagai medium rasmi untuk mendapatkan maklum balas bagi menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu-Bumiputera.
“Apabila saya melaksanakan #Terjah ke IPMA semuanya berdasarkan aduan dan maklum balas ibu bapa, pelajar dan pendidik.
“Alhamdulillah banyak perkara seperti isu kartel dan kualiti dewan selera, makanan, tandas, asrama, bilik guru dan fasiliti lain di IPMA berjaya diselesaikan.
“Jadi, jika isu dewan selera, tandas dan kelas pun pelajar boleh adu terus pada saya melalui media sosial, harap isu buli juga tolonglah laporkan. Hentikan budaya buli,” katanya di Facebook pada Khamis.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, pelajar MRSM di utara tanah air didapati terlibat dalam kes buli yang berlaku pada Jun tahun lalu.
Pelajar yang disyaki pelaku buli di asrama institusi itu sudah digantung persekolahan masing-masing.
Asyraf Wajdi turut memberi amaran, bahawa tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersekongkol atau cuba melindungi pembuli termasuk pengetua, pengarah, warden atau guru.
“Saya menyeru kepada pelajar jangan sesekali ragu-ragu untuk melaporkan sebarang perilaku buli di asrama.
“Kita sama-sama hentikan budaya buli. Tiada tempat untuk pembuli mahupan sebarang bentuk budaya buli di IPMA termasuk MRSM,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!