[VIDEO] Buli di MRSM: Tujuh pelajar disyor ditamatkan pengajian

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air disyorkan untuk ditamatkan pengajian di institusi itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah memutuskan keputusan tersebut dalam satu mesyuarat.

Menurutnya, hasil siasatan JDM mendapati seramai tujuh pelajar institusi pendidikan terbabit terlibat dalam insiden buli terhadap seorang pelajar.

"Daripada jumlah itu, siasatan mendapati dua pelajar terlibat secara langsung membuli, manakala lima rakan mereka pula bersubahat dalam kejadian tersebut.

"Sehubungan itu, semua pelajar MRSM yang terlibat disyorkan ditamatkan pengajian dari MRSM," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi



Asyraf Wajdi berkata, berdasarkan laporan yang diterima, pelajar-pelajar terlibat telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing Isnin dan Selasa.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, tiada peluang kedua akan diberikan kepada pelajar terlibat sebagaimana yang telah ditekankan sejak awal beliau mengambil alih peranan sebagai Pengerusi MARA bahawa tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.

"Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.

"Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini," katanya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan bahawa MARA telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan kejadian buli di sebuah MRSM.

Arahan tersebut susulan tularnya satu video berdurasi 1 minit 31 saat di Facebook yang memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak dan duduk di atas seorang pelajar lelaki.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan, mereka menggunakan tali pinggang untuk mengikat kaki mangsa, dan remaja lelaki terbabit dilihat tidak melawan.

Berikutan itu, kesemua pelajar yang terlibat telah digantung persekolahan sehingga siasatan terperinci selesai. Langkah ini bertujuan memastikan siasatan tidak terganggu serta menunjukkan tiada kompromi terhadap kesalahan buli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!