Tanggungjawab media tangani api sentimen

ARUS perdana masih jadi penanda aras sahih, tapi media sosial makin ligat tarik perhatian.
Merak Jalanan melihat akhir-akhir ini berlambak isu yang mencetuskan suasana tidak sihat dalam kalangan masyarakat.
Sedikit yang Merak Jalanan boleh kongsikan, antaranya isu melibatkan rumah ibadat hingga mencetuskan pelbagai persepsi kaum dan agama.
Tidak cukup dengan itu, isu politik serta dakwaan ke atas pegawai kanan kerajaan pula berlegar di media sosial dengan pelbagai sentimen.
Bila disentuh di media sosial, macam biasalah api makin menjadi marak.
Ada sahaja tukang simbah minyak. Itulah realiti media sosial.
Waktu itulah juga semua menjadi 'pakar' untuk cerita tanpa tapis hingga apa yang disampaikan rupa-rupanya palsu, merepek dan merapu.
Apakah peranan media arus perdana ini? Sampaikan maklumat dengan tepat dan tidak mengapi-apikan lagi pelbagai sentimen.
Merak Jalanan berpandangan, media arus perdana ini sebagai sumber rujukan utama dan saluran penting dalam menyampaikan maklumat serta berita kepada masyarakat.
Ia bukan sahaja menjadi wadah informasi, malah masyarakat boleh menilai sesuatu isu sebelum menetapkan pendirian.
Keupayaan media untuk melapor dengan sahih dan pantas menjadikan ia sebagai institusi yang dipercayai.
Mana tidaknya, hari ini media sosial mudah 'merebakkan' berita tidak sahih yang menyebabkan masyarakat kini lebih mudah terdedah kepada pelbagai sumber berita.
Bagi Merak Jalanan, walaupun berdepan cabaran, media arus perdana masih menjadi penanda aras dalam penyiaran berita yang sahih dan kredibiliti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
